sukarelawan

 

Maklumat dibawah dipetik dari dokumen hasil analisa kaji selidik ke atas penduduk Fasa 7B (Jalan 1/14, 1/16, 1/17, 1/18) Bandar Tasik Kesuma.


KANDUNGAN

1      ANALISA KAJI SELIDIK
1.1       Penyertaan Penduduk Di Dalam Program Kaji Selidik
1.2       Statistik Maklumbalas
2      ULASAN KUMPULAN PERONDA KE ATAS MAKLUMBALAS PENDUDUK
2.1       Definasi & Skop Edaran
2.2       Adab / Perilaku Peronda
2.3       Yuran / Sumbangan Wang
2.4       Kewangan Kelab Ronda
2.5       Rondaan
2.6       Aktiviti Anjuran Kelab Ronda
2.7       Kebersihan Persekitaran Kabin
2.8       Keselamatan Persekitaran Kabin
2.9       Kedudukan Kabin
2.10     Umum

1. ANALISA KAJI SELIDIK

1.1   Penyertaan Penduduk Di Dalam Program Kaji Selidik
Pada 3-Apr-2006 pihak kumpulan peronda telah mengedarkan borang kaji selidik kepada seluruh penduduk Bandar Tasik Kesuma Fasa 7B yang mendiami rumah di jalan-jalan yang berikut :

    * Jalan 1/14           
    * Jalan 1/16
    * Jalan 1/17
    * Jalan 1/18

Dan bermula pada 11-Apr-2006, pihak kami memulakan proses analisa kaji selidik dan dokumen ini membentangkan hasil analisa ke atas program kaji selidik beserta dengan ulasan terhadap pandangan/aduan dari pihak penduduk.

Rajah 1 : Peratus Penyertaan

Rajah 1 di atas menunjukkan peratus penyertaan adalah sebanyak 33.87% dengan mengandaikan baki 66.13% adalah mereka yang tergolong didalam kategori dibawah :

    * Tidak menerima borang kaji selidik.
    * Borang kaji selidik telah rosak.
    * Ingin menyertai program kaji selidik tetapi terlupa untuk bertindak
    * Tidak mahu menyertai program kaji selidik.

Bagi maksud memudahkan rujukan ke atas 4 kategori yang di atas, dokumen ini merujuk kumpulan tersebut sebagai pihak “Berkecuali”.

Kembali Ke Muka Surat Pertama


1.2     Statistik Maklumbalas
Tidak semua hasil analisa kaji selidik ditunjukkan didalam dokumen ini,  selebihnya adalah merupakan data yang disimpan untuk rujukan kami di masa hadapan. Topik-topik yang dibentangkan di sini adalah topik-topik penting yang perlu dimaklumkan kepada penduduk. Walau bagaimanapun, pihak kami mengamalkan dasar ketelusan didalam proses penganalisaan kaji selidik dan sekiranya anda berminat untuk mengetahui maklumat terperinci mengenai hasil kaji selidik tersebut, sila berhubung dengan kumpulan peronda. Dokumen tersebut berada di atas meja tulis didalam kabin. Ianya hanya untuk bacaan di kabin dan tidak boleh dibawa keluar.

Anda juga boleh berkomunikasi dengan kumpulan peronda melalui email yang beralamat seperti dibawah :

ronda_btk_f7b@yahoo.com

Terdapat juga soalan-soalan objektif yang akan diulas didalam seksyen 2. ULASAN KUMPULAN PERONDA KE ATAS MAKLUMBALAS PENDUDUK.

Berikut adalah maklumbalas yang kami terima dari mereka yang menyertai program ini :

a)     Rajah 2 dibawah menunjukkan peratus jawapan mengenai soalan “Adakah anda rasa rondaan malam dengan tujuan menjaga keselamatan penduduk Fasa 7B perlu diteruskan”. Sebanyak 32.26% memilih untuk meneruskan aktiviti rondaan keselamatan disebelah malam. Soalan ini adalah ibu kepada semua soalan yang dibentangkan didalam borang kaji selidik dan pihak kami amat berharap aktiviti rondaan malam ini dapat terus dikekalkan.

                    Rajah 2 : Peratus Jawapan “Adakah Rondaan Perlu Diteruskan?”

b)     Rajah 3 dibawah menunjukkan peratus jawapan mengenai soalan “Apakah sesi waktu yang sesuai untuk rondaan malam”. Maklumat ini dengan jelas menunjukkan bahawa sebanyak 25.81% telah memilih sesi waktu 2am – 5am. Diharap semua peronda dapat meluangkan masa mematuhi sesi waktu tersebut.

Rajah 3 : Peratus Jawapan “Apakah sesi waktu yang sesuai untuk rondaan malam”

c)      Rajah 4 dibawah menunjukkan peratus jawapan mengenai soalan “Adakah anda rasa yuran bulanan Kelab Ronda Fasa 7B perlu dikenakan kepada semua penghuni Fasa 7B sebagai penglibatan semua pihak dalam menjaga keamanan kawasan perumahan kita”. Walaupun 30.65% memilih untuk mengenakan yuran, pihak kami telah memutuskan untuk tidak mengutip sebarang bentuk yuran dari penduduk. Sila rujuk seksyen “2. ULASAN KUMPULAN PERONDA KE ATAS MAKLUMBALAS PENDUDUK” dibawah sub-tajuk “Yuran / Sumbangan Wang”.

Rajah 4 : Peratus Jawapan “Adakah Yuran Bulanan Perlu Dikenakan Kepada Semua Penghuni Fasa 7B”

d)     Rajah 5 dibawah menunjukkan peratus jawapan mengenai soalan “Adakah anda bersetuju sekiranya kita menggunakan khidmat Syarikat Keselamatan yang berdaftar untuk di awasi oleh Pengawal Keselamatan yang bertugas (Gated Community)”. Memandangkan 17.74% menyatakan bahawa mereka tidak bersetuju dengan pengambilan syarikat keselamatan untuk menjaga keselamatan taman perumahan Fasa 7B, maka perkara ini tidak dapat dilaksanakan.

Rajah 5 : Peratus Jawapan “Adakah anda bersetuju sekiranya kita menggunakan khidmat Syarikat Keselamatan”

e)     Rajah 6 dibawah menunjukkan peratus jawapan mengenai soalan “Adakah anda rasa satu (1) talian Hotline perlu di wujudkan bagi memudahkan Penduduk Fasa 7B menyalurkan pandangan dan aduan kepada pihak Kelab Ronda Fasa 7B”. Sebanyak 22.58% memilih untuk satu talian hotline diwujudkan. Perkara ini didalam perhatian pihak kami.

Rajah 6 : Peratus Jawapan “Adakah Talian Hotline Perlu Diwujudkan”

f)       Rajah 7 dibawah menunjukkan peratus jawapan mengenai soalan “Adakah anda pernah berselisih faham dengan salah seorang ahli Kelab Ronda Fasa 7B”. Agak mendukacitakan pihak kami kerana terdapat penduduk yang pernah berselisih faham (sebanyak 3.23%) dengan kumpulan peronda dan diharap perkara ini tidak berlanjutan dan dapatlah sama-sama berbincang dan menyelesaikan masalah tersebut secepat mungkin.

Rajah 7 : Peratus Jawapan “Adakah anda pernah berselisih faham dengan salah seorang ahli Kelab ronda Fasa 7B”

g)     Rajah 8 dibawah menunjukkan peratus jawapan mengenai soalan “Adakah lokasi kabin yang bertempat di tepi padang permainan kanak-kanak Fasa 7B sekarang adalah strategik dan bersesuaian (dgn mengambil kira kemudahan untuk mendapatkan bekalan letrik dan air)”. Sebanyak 25.81% menyatakan kedudukan kabin adalah bersesuaian. Sila rujuk seksyen “2. ULASAN KUMPULAN PERONDA KE ATAS MAKLUMBALAS PENDUDUK” dibawah sub-tajuk “Kedudukan Kabin”.

Rajah 8 : Peratus Jawapan “Adakah Kedudukan Kabin Bersesuaian”

h)     Rajah 9 dibawah menunjukkan peratus jawapan mengenai soalan “Adakah aktiviti seperti menonton televisyen, berdiskusi, BBQ, indoor game dan lain-lain akitiviti berkumpulan yang dilakukan di kabin mengganggu ketenteraman Penduduk Fasa 7B”. Sebanyak 32.26% menyatakan aktiviti yang dijalankan di kabin tidak mengganggu ketenteraman penduduk. Sila rujuk seksyen “2. ULASAN KUMPULAN PERONDA KE ATAS MAKLUMBALAS PENDUDUK” dibawah sub-tajuk “Adab / Perilaku Peronda”.

Rajah 9 : Peratus Jawapan “Adakah Aktiviti-aktiviti Di Kabin Mengganggu Ketenteraman Penduduk”

i)       Rajah 10 dibawah menunjukkan peratus jawapan mengenai soalan “Adakah anda rasa rondaan malam memenatkan dan mengganggu tugas harian  anda”. Terdapat 9.68% menyatakan bahawa aktiviti sukarela ini mengganggu tugas harian dan pihak kami amat berterimakasih kepada mereka kerana sedia meluangkan masa dalam menjaga keamanan taman perumahan walaupun dibebani dengan beban kerja harian. Syabas.

Rajah 10 : Peratus Jawapan “Adakah Rondaan Memenatkan & Mengganggu Tugas Harian Anda”

Kembali Ke Muka Surat Pertama

2. ULASAN KUMPULAN PERONDA KE ATAS MAKLUMBALAS PENDUDUK

Hasil daripada pengedaran borang kaji selidik kepada penduduk, terdapat beberapa perkara yang disentuh oleh peserta program kaji selidik dan berikut adalah ulasan dari pihak kami yang telah diringkaskan mengikut beberapa kategori seperti berikut :

    * Definasi & Skop Edaran
    * Adab / Perilaku Peronda
    * Yuran / Sumbangan Wang
    * Kewangan Kelab Ronda
    * Rondaan
    * Aktiviti Anjuran Kelab Ronda
    * Kebersihan Persekitaran Kabin
    * Keselamatan Persekitaran Kabin
    * Kedudukan Kabin
    * Umum

2.1        Definasi & Skop Edaran

Skop pengedaran borang kaji selidik hanya kepada penduduk yang mendiami rumah di  jalan 1/14, 1/16, 1/17 dan 1/18 kerana pada ketika ini hanya jalan-jalan tersebut yang mempunyai wakil yang aktif yang turut serta meronda. Oleh kerana itu pada setiap malam kecuali pada hari Ahad (2am – 5am) terdapat kumpulan peronda yang akan meronda setiap jalan tersebut (depan dan belakang rumah). Pagi Ahad dikecualikan kerana bilangan peronda amat terhad dan pihak kami telah memutuskan bahawa tiada rondaan dilakukan pada hari tersebut.
Bagi tujuan sasaran kaji selidik pihak kami berpendapat buat permulaan adalah wajar untuk membuat “ujian keberkesanan penyertaan” ke atas mereka yang mendiami rumah di jalan-jalan yang berkenaan. Seandainya penyertaan mereka didalam program kaji selidik ini menggalakkan, pihak kami akan mempertimbangkan untuk mengedarkan borang kaji selidik kepada mereka yang mendiami rumah di jalan-jalan yang selebihnya didalam Fasa 7B.

2.1.1    Penggunaan nama Kelab Ronda Fasa 7B.

Kelab Ronda Fasa 7B bukanlah satu badan pertubuhan yang berdaftar. Penggunaan nama tersebut adalah bertujuan untuk memudahkan penduduk berurusan dengan kumpulan peronda dan sebaliknya. Ianya adalah lebih kepada sebuah nama panggilan kepada badan tidak rasmi yang menguruskan kumpulan peronda dari segi
aktiviti rondaan malam, aktiviti kemasyarakatan, penyelenggaraan kabin dan juga mentadbir sumber kewangan dan perbelanjaan. Pihak kami amat mengalu-alukan sebarang cadangan bagi penggunaan nama yang lebih sesuai. Cadangan anda boleh dimajukan kepada mana-mana peronda.

2.1.2    Penggunaan nama Ahli Kelab Ronda

Hakikatnya, semua penduduk yang pernah melibatkan diri didalam sebarang aktiviti kumpulan peronda, ataupun pernah menyumbang dari segi wang ringgit dan tenaga, adalah merupakan ahli kelab ronda. Semenjak kewujudan aktiviti rondaan malam ini, pihak kami amat berterima kasih kepada mereka yang telah sudi menyumbang wang bagi tujuan pembelian kabin dan sebagainya. Pihak kami bersikap terbuka dan amat mengalu-alukan penyertaan penduduk didalam sebarang aktiviti Kelab Ronda. Pihak kami amat mengalu-alukan sebarang cadangan bagi penggunaan nama yang lebih sesuai. Cadangan anda boleh dimajukan kepada mana-mana peronda.

2.2        Adab / Perilaku Peronda

Pihak kami amat menyesali sekiranya ada dikalangan peronda yang bersikap memandang sinis terhadap mereka yang tidak meronda. Tanamkan semangat setiakawan dan muhibbah sesama penduduk dan jauhkan sama sekali dari bersengketa dengan sesiapa. Jangan ada jurang di antara mereka yang baru atau belum pernah menyertai aktiviti rondaan dengan yang telah lama.

Tindakan : Semua peronda telah dimaklumkan dan tindakan ke atas semua peronda.

Terdapat juga aduan tentang berlakunya “pencemaran bunyi” samada dari bunyi televisyen dan hilai tawa yang melampau dari kabin ronda.

Tindakan : Semua peronda telah dimaklumkan dan tindakan ke atas semua peronda.

Terdapat keadaan dimana kenderaan mereka yang singgah di kabin diletakkan ditempat yang kurang sesuai. Pihak kami akan memantau perkara ini dan kedudukan kenderaan mestilah diletakkan dibahu jalan yang menghadap arah depan kabin.

Tindakan : Semua peronda telah dimaklumkan dan tindakan ke atas semua peronda.

Aktiviti permainan dikabin perlulah mengikut kesesuaian masa dan tidak mengganggu ketenteraman penduduk berdekatan. Dan juga, permainan tersebut mestilah dikawal dengan baik supaya tidak menjejaskan atau mengabaikan aktiviti rondaan.

Tindakan : Semua peronda telah dimaklumkan dan tindakan ke atas semua peronda.

Pihak kami telah memutuskan untuk menyediakan satu garis panduan ketika berada di kabin dan ianya akan ditampal di papan kenyataan kabin. Semua peronda dan tetamu yang berada di kabin adalah diminta untuk memberikan kerjasama dalam mematuhi garis panduan tersebut.

Kembali Ke Muka Surat Pertama

2.3         Yuran / Sumbangan Wang

Pihak kami berpendapat kutipan yuran bulanan secara wajib ke atas semua penduduk Fasa 7B adalah tidak wajar memandangkan aktiviti rondaan adalah secara sukarela. Amat dibimbangi sekiranya terdapat penduduk yang merasa tidak puas hati jika rumah mereka dimasuki pencuri pada waktu rondaan berkuatkuasa (2am – 5am) sedangkan mereka membayar yuran bulanan wajib.

Walaupun demikian pihak kami amat mengalu-alukan sumbangan ikhlas dari semua penduduk dan serahan boleh dilakukan kepada mereka yang disenaraikan dibawah :

  • En. Amin  (012-2474370)     12, Jln Kesuma 1/18
  • En. Fadhil (012-2152774)     45, Jln Kesuma 1/16

Pihak kami telah memutuskan bahawa kutipan yuran bulanan minima sebanyak RM 2 sebulan kenakan kepada semua peronda. Yuran ini adalah untuk menampung perbelanjaan minuman sewaktu sesi rondaan dan juga lain-lain perbelanjaan yang difikirkan sesuai.

2.4        Kewangan Kelab Ronda

Pihak kami akan memperkemaskan butiran kewangan secara lebih teratur agar mudah bagi semua penduduk mengetahui kedudukan kewangan semasa. Ringkasan penyata ini akan ditampal di kabin. Menyentuh mengenai topik kewangan ini, berikut adalah pecahan punca pendapatan dan perbelanjaan.

Pendapatan :

  • Penyewaan lampu gelanggang badminton/sepaktakraw pada kadar RM 2 / jam.
  • Kutipan secara tidak tetap dari peronda.
  • Sumbangan ikhlas dari penduduk Fasa 7B.

Perbelanjaan :

  • Bil Letrik
  • Bil Air
  • Minuman

Pihak kami juga ingin menjelaskan disini bahawa sebarang perbelanjaan bagi tujuan makan malam BBQ yang diadakan secara adhoc/tidak rasmi di kabin yang dijalankan selama ini, adalah datangnya dari sumber penajaan dari peronda dan bukannya dari tabung kelab ronda.

Kembali Ke Muka Surat Pertama

2.5        Rondaan

  • Pihak kami menyeru kepada semua peronda apabila turun meronda, jalankanlah tugasan ini dengan penuh rasa tanggungjawab. Pastikan buku rekod rondaan dikemaskini dalam usaha untuk melindungi diri peronda sekiranya berlaku kejadian pecah rumah yang melibatkan kawasan yang perlu diawasi pada masa sesi rondaan. Rekodkan masa rondaan anda dengan jujur.
  • Terdapat pandangan yang menyatakan bahawa aktiviti ini memang elok untuk diteruskan tetapi hanya kepada mereka yang mempunyai kelapangan masa. Secara amnya, pihak kami amat bersetuju dengan pandangan ini dan diharap kepada mereka yang mempunyai kelapangan masa, dapatlah sama-sama turut serta dalam aktiviti rondaan demi menjaga keamanan taman perumahan kita disamping dapat mengeratkan persahabatan yang telah wujud. Pihak kami amat menghargai pengorbanan penduduk yang pernah turun meronda semenjak kewujudan aktiviti rondaan malam ini dan kami amat berharap kepada mereka yang kini kurang aktif menyertai aktiviti rondaan ataupun yang belum pernah menyertai aktiviti rondaan, dapatlah sama-sama menyertai aktiviti murni ini.
  • Untuk makluman semua, mengikut maklumat yang kami perolehi, hampir kesemua peronda bekerja makan gaji yang memerlukan mereka menepati masa kerja pejabat dan secara puratanya mempunyai cuti mingguan pada hari Sabtu dan/atau Ahad. Dan juga, kebanyakan dari mereka bekerja di institusi swasta atau kerajaan yang berada lebih dari 25km dari rumah mereka. Pihak kami ingin mengucapkan syabas dan terima kasih di atas kesudiaan mereka meluangkan masa dalam menyertai aktiviti rondaan.
  • Bagi mereka yang berada didalam kategori berikut,
    • bekerja sendiri,
    • bekerja mengikut shift,
    • hanya mendiami rumah yang berkenaan pada hujung minggu,
    • hanya mendiami rumah yang berkenaan pada cuti umum,
      pihak kami amat mengalu-alukan anda untuk turut serta meronda dengan memilih mana-mana hari mengikut keselesaan anda.

2.6        Aktiviti Anjuran Kelab Ronda

  • Satu dokumen kertas kerja mengenai Hari Keluarga telah pun sedia untuk bacaan dan maklumbalas dikehendaki dari semua peronda. Sila rujuk kepada dokumen ini “Program-002a-2006 Kertas Cadangan Hari Keluarga”. Dokumen berada didalam kabin dan diletakkan di atas meja tulis.
    Sekiranya terdapat penduduk yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut, anda dikehendaki berhubung dengan mana-mana peronda sebelum 31-Julai-2006. Pihak kami tidak dapat mengedarkan dokumen tersebut kepada penduduk Fasa 7B memandangkan dokumen tersebut agak tebal untuk dibuat salinan (mengambilkira kesan kos).

*** Permohonan salinan dokumen hari keluarga menerusi email adalah digalakkan.

  • Pihak kami juga akan menimbangkan untuk mengadakan majlis perjumpaan yang melibatkan keluarga. Maklumat lanjut akan dimaklumkan kelak. 
  • Pihak kami akan mempertimbangkan program gotong-royong terutamanya dalam membersihkan kawasan jalan dibelakang rumah agar mudah dan selamat bagi kenderaan yang digunakan oleh peronda melaluinya. Selain itu, kawasan lain yang perlu untuk dibersihkan, juga akan dipertimbangkan. Program gotong-royong ini akan dilakukan mengikut kesesuaian masa dan keadaan. 
  • Terdapat cadangan untuk menganjurkan aktiviti yang melibatkan seluruh Fasa 7. Pihak kami berpendapat skop jemputan ini terlalu besar dan tidak dapat dilaksanakan buat masa ini. 
  • Pihak kami telah memutuskan bahawa, pada setiap 2 bulan, pada Sabtu pertama, jam 10 malam, bermula pada bulan Ogos 2006, akan diadakan sesi perbincangan secara rasmi. Jemputan ini merangkumi semua ketua keluarga/rumah bagi penduduk Fasa 7B, Bandar Tasik Kesuma yang mendiami rumah di jalan 1/14, 1/16, 1/17 dan 1/18. Didalam sesi ini, kita akan membincangkan isu-isu tentang keselamatan kawasan perumahan, kebersihan, aktiviti kemasyarakatan, isu-isu semasa dan sebagainya. Sesi perbincangan ini juga akan diminitkan untuk memudahkan sebarang bentuk rujukan di masa hadapan. Didalam sesi perbincangan ini, satu jamuan ringkas akan diadakan dan kos penyediaan jamuan ini akan menggunakan wang dari tabung kelab ronda. Pihak kami amat mengalu-alukan konsep penajaan didalam menampung kos jamuan tersebut.

2.7        Kebersihan Persekitaran Kabin

  • Kebersihan merupakan aspek penting dalam kehidupan kita dan pihak kami amat menyesali sekiranya terdapat kekotoran disekitar kawasan kabin.
    Tindakan : Semua peronda telah dimaklumkan dan tindakan ke atas semua peronda.
  • Selain dari aspek kebersihan, pihak kami juga sedang mempertimbangkan usaha untuk memperindahkan lagi persekitaran kabin seperti menanam pokok bunga, memasang lampu hiasan pada musim perayaan dan sinki basuhan yang lebih kemas.

2.8        Keselamatan Persekitaran Kabin

Sumber bekalan letrik dan air datangnya dari sumber yang sah iaitu dari rumah En. Amin yang beralamat di 58, Jln 1/17. Pihak kami juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada En. Amin yang telah banyak bekerjasama dalam mengizinkan bekalan letrik dan air diperolehi dari rumah beliau.  En. Amin pada ketika ini mendiami rumah yang beralamat di 12, Jln Kesuma 1/18 dan rumah yang beralamat di 58, Jln 1/17 adalah juga rumah beliau.

Kembali Ke Muka Surat Pertama

2.9         Kedudukan Kabin

Kesempatan ini juga diambil untuk menyingkap sejarah aktiviti rondaan yang kini telahpun masuk tahun ke-3. Pada peringkat awal ketika tiadanya kabin ronda, peronda akan berkumpul di taman permainan kanak-kanak dan seterusnya melakukan rondaan. Masaalah tiba sekiranya pagi tersebut terlalu sejuk dan lebih memburukkan lagi keadaan sekiranya hujan. Kebiasaannya peronda akan memilih mana-mana rumah yang belum didiami (pintu pagar tidak berkunci) sebagai tempat berteduh.

Oleh yang demikian, keputusan telah diambil oleh semua peronda untuk membeli kabin tersebut. Ucapan terima kasih juga kepada semua penduduk yang mendiami rumah di jalan 1/12, 1/13, 1/14, 1/15, 1/16, 1/17 dan 1/18 yang telah menyumbang sebanyak RM50 sebagai bayaran minima bagi tujuan pembelian kabin tersebut.

Ketika cadangan untuk memilih tapak yang sesuai untuk menempatkan kabin ronda, pihak kami telah mengambilkira kemudahan untuk mendapatkan bekalan elektrik dan air. Kabin memerlukan bekalan elektrik sebagai infrastruktur asas manakala bekalan air diperlukan untuk memudahkan peronda menyediakan minuman ketika sesi rondaan. Tambahan pula, pada ketika itu pembinaan surau masih lagi dalam peringkat perancangan dan tidak memungkinkan sebarang rundingan dengan pihak surau. Dengan demikian pihak kami pada ketika itu telah memutuskan untuk meletakkan kabin berhampiran dengan rumah En. Amin bagi memudahkan proses mendapatkan bekalan asas. Walau bagaimanapun, pemilihan tapak baru bagi kabin ronda dalam perhatian pihak kami.

2.10       Umum

  • Pihak kami berpendapat bahawa Jawatankuasa Tetap tidak diperlukan buat masa ini, memadai dengan melantik seseorang sebagai pemegang amanah dalam menjaga kewangan Kelab Ronda.
    Nama dibawah adalah pemegang amanah bagi menjaga kewangan Kelab Ronda :
    • En. Amin  (012-2474370)     12, Jln Kesuma 1/18
    • En. Fadhil (012-2152774)     45, Jln Kesuma 1/16
  • Walaubagaimanapun, satu Jawatankuasa Adhoc akan dilantik untuk menguruskan sesuatu aktiviti/majlis yang bersifat sementara mengikut kesesuaian keadaan.
  • Setiap peronda hendaklah memakai jaket pemantul cahaya. Satu cadangan yang baik dan terpulang kepada peronda untuk memutuskannya kerana ada di antara peronda yang kurang selesa mengenakannya. 
  • Terdapat cadangan untuk menarik penduduk menyertai aktiviti rondaan dengan mendekati penduduk Fasa 7B dengan bercakap sendiri dengan mereka, seperti pergi ke rumah-rumah yang berkenaan.
    Perkara ini telah dibincangkan dan ianya dalam perhatian pihak kami.
  • Terdapat cadangan untuk berkongsi kemahiran seperti bengkel mengganti tiub motorsikal, peralatan pancing, pertukangan dan lain-lain kemahiran yang difikirkan sesuai. Satu idea yang baik dan diharap dapat dilaksanakan.
  • Bagi tujuan mempertingkatkan tahap kecergasan dan kesihatan, terdapat cadangan untuk mengadakan aktiviti kesukanan yang melibatkan penghuni Fasa 7B. Satu idea yang baik dan diharap dapat dilaksanakan.
  • Pada semua peronda muslim, diharap dapat sama-sama meluangkan masa berjemaah di surau.
    Tindakan : Semua peronda muslim telah dimaklumkan dan tindakan ke atas semua peronda muslim.

Kembali Ke Muka Surat Pertama

"MAKLUMAT ANDA, PANDUAN KAMI"

 

 

Iklan Berbayar

Ingin mengiklankan produk anda disini? Sila hubungi Webmaster


Dapatkan Tips-tips Penjimatan Elektrik Di Sini


Perkhidmatan Kami 

Jamin




 

Tawaran