Sudah tiba masanya kerajaan melebarkan jalan Semenyih yang kini mengalami kesesakan teruk kesan dari pembangunan perumahan baru seperti Taman Tasik Semenyih, Bandar Rinching, Pelangi Semenyih dan Bandar Tasik Kesuma. Ini mungkin akan diburukkan lagi dengan pembukaan pasaraya besar Tesco tidak lama lagi. Mampukah jalan sempit di pekan Semenyih menampung bebannya.

Petikan dari Utusan Malaysia 8-Okt-2008

SEMENYIH Sebanyak RM15 juta akan diperuntukkan bagi melaksanakan projek pelebaran jalan di sepanjang Jalan Pekan Semenyih dan Jalan Broga tidak lama lagi. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Johan Abd. Aziz berkata, pelebaran jalan tersebut perlu dilaksanakan bagi mengatasi masalah kesesakan di sepanjang jalan berkenaan yang berlaku sejak beberapa tahun lalu. Katanya, bagaimanapun, tarikh tepat bila projek pelebaran jalan berkenaan akan dimulakan masih belum diputuskan lagi.

“Memandangkan penduduk di kawasan sekitar Semenyih semakin bertambah, jadi jalan tersebut perlu diperbesarkan bagi menampung jumlah kenderaan yang menggunakan jalan berkenaan. Walaupun Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) telah dibuka bagi mengurangkan kesesakan, namun ia juga tidak mampu mengatasi masalah kesesakan di Jalan Semenyih dan Broga dengan sepenuhnya. Justeru, apabila tender projek pelebaran jalan berkenaan telah ditetapkan, maka projek pelebaran juga akan mula dilaksanakan bagi memberi keselesaan kepada pengguna terutamanya penduduk di kawasan berkenaan,” katanya kepada pemberita ketika melawat pembukaan lebuh raya Lekas baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu tentang cadangannya untuk menyediakan perkhidmatan bas mini kepada penduduk di kawasan perumahan baru yang masih belum mempunyai pengangkutan awam di sekitar Semenyih dan Bandar Tasik Kesuma. Jelasnya, sebelum ini beliau telah mengadakan perbincangan bersama Pengerusi Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Datuk Markiman Kobiran bagi membantu menyediakan perkhidmatan tersebut.

“Memandangkan kepadatan penduduk semakin tinggi di kawasan ini, jadi pengangkutan awam amat diperlukan di kawasan-kawasan perumahan yang jauh dari jalan besar. Oleh yang demikian, perkhidmatan bas mini menjadi salah satu inisiatif kepada penduduk untuk keluar dan masuk ke taman-taman perumahan tersebut,” jelasnya.