Rasa terpanggil pula untuk menyentuh tentang perakara ini. Maklumlah ramai pembeli rumah mengambil sikap acuh tak acuh sahaja dalam memperjuangkan hak-hak mereka sebagai pembeli. Sedarkah anda pemaju sepatutnya membayar 10% pampasan sekiranya mereka lambat menyerahkan kunci rumah. Mengikut Sales and Purchase Agreement (S&P), itulah janji mereka yang termeterai didalam kontrak. Kalau pihak Bank lewat dalam membayar mereka sewaktu pembayaran pertama (1st Disbursement), mereka akan mengenakan faedah ke atas pembeli. Itu hak pemaju. Bagaimana kalau kunci tak dapat diserahkan dalam tempoh 24 bulan (untuk rumah bukan bangunan) dari tarikh S&P?
Pernah ini terjadi kepada rakan saya dan beliau telah memberitahu apakah tindakan beliau sehingga beliau mendapat pampasan sebanyak 80% dari nilai pampasan sebenar tanpa melalui sebarang proses undang-undang. Wajarkah terima 80% sahaja? Beliau kata bolehlah daripada menunggu lagi untuk tempoh yang tidak diketahui. Beliau telah berusaha selama hampir 2 tahun untuk mendapatkan pampasan tersebut dan telah 4 kali menghantar surat kepada Pemaju menggunakan khidmat pos berdaftar. Setiap surat dimajukan juga kepada pihak peguam yang bertanggungjawab sewaktu urusan S&P.
Apabila surat pertama diterima oleh pemaju, seorang kakitangan pemaju akan menelefon beliau dan cuba tawar-menawar dan jumlah yang mereka tawarkan ialah 60%. Jumlah 60% ialah jumlah yang biasa dibayar oleh pemaju, mereka untung 40%. Apabila surat kedua pula mereka terima, mereka tawarkan 65%. Apabila surat ketiga pula mereka terima, mereka tawarkan 70%. Kelakar pun ada, macam beli barang pulak, ada tawar-menawar.
Dalam surat yang ke-empat kata beliau, beliau telah menggunakan perkataan “Untuk tidak memanjangkan kes tuntutan pampasan ini, saya dengan ini bersedia untuk menerima sebanyak 80% dari jumlah pampasan sebenar”. Sebenarnya beliau merancang untuk membawa kes ini ke Tribunal Pengguna sekiranya pemaju tidak mahu menerima tawaran 80% yang beliau tawarkan. Akhirnya, pemaju bersetuju dengan jumlah tersebut. Agaknya kalau beliau hantar surat ke-lima, mungkin pemaju membayar 100%, tapi itu mungkin ambil masa hingga 6 tahun dari tarikh serah kunci sebab pemaju boleh untung sikit sebab wang tersebut boleh digunakan dulu untuk tujuan lain.
Pampasan boleh dituntut oleh pembeli sebelum tamat tempoh 6 tahun dari tarikh penyerahan pemilikan kosong sepertimana yang disebut dalam perjanjian Jual dan Beli selaras dengan Akta Had Masa 1953. Rujukan : National House Buyers Association.