KUALA TERENGGANU: Calon Bebas, Maimun Yusof, 89, berkata beliau tidak serik untuk bertanding pada pilihan raya akan datang walaupun hilang wang deposit pada Pilihan Raya Umum Ke-12, kelmarin.
Warga emas itu yang juga calon tertua pernah bertanding pada pilihan raya di negara ini, berkata jika kesihatannya mengizinkan, beliau akan terus bertanding kerana hendak menyuarakan pandangannya berhubung banyak perkara yang dirasakan perlu diperbetulkan.

“Kalau duit cukup dan kalau semua peraturan tok (saya) ikut, tok akan cuba lagi,” katanya di sini semalam.

Maimum hilang wang deposit apabila sekadar meraih 685 undi dalam pertandingan tiga penjuru merebut kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Kerusi itu dimenangi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Razali Ismail yang memperoleh 32,562 undi manakala Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu meraih 31,934 undi.

Ketika ditanya perkara yang perlu diperbetul itu, Maimun bagaimanapun enggan menyatakannya.

“Kalau tok menang, tok boleh cakap banyak dalam Dewan (Rakyat). Sekarang ni tak boleh cakap sebab tok tak menang,” katanya yang letih kerana terpaksa berkempen secara bersendirian.

Ditanya mengenai jumlah wang yang dibelanjakan sepanjang kempen dan bertanding pada pilihan raya itu, Maimun berkata, beliau menggunakan wang simpanannya hampir RM20,000, termasuk untuk bayaran deposit sebanyak RM10,000.

Pilihan raya umum kali ini adalah pertandingan pertama buat Maimun selepas gagal berbuat demikian sejak empat pilihan raya lalu disebabkan tidak memenuhi syarat yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). – Bernama

Sumber : Berita Harian

Share and Enjoy:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • blogmarks
  • del.icio.us
  • De.lirio.us
  • Smarking