Kajang, 15 Ogos 2007 – Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sekali lagi mengorak langkah cemerlang dengan melancarkan kelulusan 24 jam untuk semua pelan ubahsuai kediaman yang melibatkan tambahan rumah,permit kerja kecil dan pelan rumah sesebuah yang telah dimajukan di sesebuah pembangunan terancang. Yang DiPertua MPKj, Dato’ Hasan Nawawi bin Abd Rahman berkata,Kelulusan 24 jam ini akan memudahkan orang ramai untuk berurusan dengan MPKj terutamanya kepada mereka yang ingin melakukan ubahsuai kediaman/bangunan. Kelulusan 24 jam ini termasuklah kelulusan pelan setara yang dipendekkan tempoh kelulusan berbanding tempoh 14 hari sebelum ini. Orang ramai hanya perlu membeli borang yang disediakan dan mematuhi syarat yang ditetapkan sebelum kelulusan dikeluarkan, katanya. Walaubagaimanapun, kelulusan 24 jam ini masih tertakluk kepada kesediaan orang ramai untuk menyalurkan semua maklumat yang diperlukan terutama dalam mematuhi garis panduan yang dikeluarkan. Orang ramai yang ingin melakukan ubahsuai kediaman bolehlah berurusan di kaunter Bahagian Bangunan, Tingkat 5, Menara MPKj untuk mendapatkan maklumat dan penerangan lanjut. Kelulusan 24 jam ini adalah selaras dengan kehendak Pihak Berkuasa Negeri yang mensyaratkan semua PBT memberikan kelulusan 24 jam kepada orang ramai yang ingin melakukan ubahsuai kediaman/bangunan.
Sumber : MPKj