Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Selamat menyambut ulangtahun ke-50 kemerdekaan buat negaraku yang tercinta, Malaysia. Terimakasih buat pejuang negara yang berkorban demi memerdekakan tanahair dari cengkaman penjajah. Sudah puas kita dijajah, dari Portugis, Belanda dan Inggeris yang mengaut keuntungan dari hasil bumi Malaysia. Tidak mungkin mereka menjajah jika pelaburan tidak berbaloi.
Dalam kegairahan pihak-pihak tertentu menyambut lebaran kemerdekaan, saya amat terkejut kerana terdapat lambakan Jalur Gemilang yang tidak menepati piawaian yang ditetapkan. Ini telah dibongkar oleh Encik Karam Singh Walia seorang petugas TV3 yang cekap mengambil peluang melaporkan berita sensasi. Laporan beliau menyebut, terdapatnya Jalur Gemilang yang diimport dari negara China yang tidak mengikut spesifikasi yang betul dan lebih memeranjatkan JG yang tidak mengikut spesifikasi ini dipasang oleh pihak berkuasa tempatan. Sewajarnya pihak berkuasa tempatan dengan jumlah pegawai dan anggota yang ramai meneliti terlebih dahulu kualiti JG yang ingin dipasang. JG bukannya sebarang kain yang boleh dipermainkan.