Salam sejahtera,
Pada 15-Jun-2008 yang lalu telah diadakan pertandingan bolatampar di antara Sukarelawan Ronda. Pasukan-pasukan
yang bertanding adalah terdiri dari nama-nama SR yang diundi untuk membentuk pasukan masing-masing. Hasilnya terdapat 5 pasukan iaitu pasukan Otai Maju, Blues Gang, SHAAIKH, Huru-hara, Cool. Perlawanan di pusingan awal adalah secara liga dan empat pasukan teratas liga bertanding di peringkat separuh akhir. Di peringkat awal, sebuah pasukan terpaksa pulang awal dari kem pertandingan setelah berjaya di”cool”kan atau ringkasnya dibekukan sepertimana namanya. Bukan salah sesiapa, memang mereka dah tersalah pilih nama. Perlawanan peringkat separuh akhir telah diadakan pada 22-Jun-2008 disebelah pagi.
Otai maju yang terdiri dari veteran perang begitu bersemangat membawa cabaran pasukan dengan setiap pemain melakukan berbagai cara pukulan seperti pukulan Ultra-man, lipat tebong dan siku tonjol. Manakala SHAAIKH berstatus pasukan mewah, penuh angkuh menukar pemain silih berganti.
Merekalah satu-satunya pasukan yang mempunyai limpahan pemain tatkala pasukan lain menderita dengan barisan pemain yang cedera, yang bertugas ke luar daerah dan sebagainya. Pasukan mewah pemain tetapi miskin jersi, sepertimana gambar hanya memakai pakaian warna putih, biasa-biasa aje. Sesuai pula dengan namanya, pasukan Huru-Hara yang dah memangpun huru-hara sejak dari hari pendaftaran pemain, melangkah masuk ke gelanggang dengan 5 orang pemain. Dengan jersi merah, mereka berjuang sehingga dapat melangkah ke separuh akhir. Tukang rembat Din, tukang sogok Rosli, yang lain tukang serve. Pasukan Blues Gang dengan jersi hijau kuning bermain berhempas pulas diperingkat separuh akhir akibat dihuru-harakan oleh pasukan Huru-Hara. Penat dengan perlawanan tersebut menyebabkan mereka tewas di perlawanan akhir kepada pasukan SHAAIKH dengan begitu mudah. Yang pasti semua pasukan telah bermain dengan penuh semangat kesukanan dan pengawas pertandingan yang dijemput telah mengesahkan bahawa tiada unsur-unsur pemain yang menjual perlawanan.
Bagi pihak Pasukan Sukarelawan Ronda, saya ingin merakamkan penghargaan kepada pihak pengelola pertandingan yang telah bertungkus-lumus memastikan pertandingan ini berjalan dengan lancar dan berjaya memenuhi matlamat mengeratkan persahabatan dikalangan Sukarelawan Ronda yang lama dan baru.