Penat lelah pihak penganjur sejak 4 minggu yang lalu akhirnya terungkai dengan kejayaan menganjurkan pertandingan bolatampar tertutup Pasukan Sukarelawan Ronda, Fasa 7B Bandar Tasik Kesuma. Ini adalah medan percubaan mempelajari selok-belok penganjuran sukan untuk temasya sukan yang lebih besar di masa hadapan. Mungkinkah?

Disamping itu objektif utama penganjuran pertandingan ini ialah untuk meningkatkan lagi semangat bekerjasama di antara pasukan harian Sukarelawan Ronda dan menjalinkan ikatan yang lebih mesra dengan penduduk didalam skop rondaan Pasukan Sukarelawan Ronda. Kurang dari 24 jam setelah berakhirnya pertandingan ini, Pasukan Sukarelawan Ronda telah berjaya menambah seorang anggota baru dan beliau telah memulakan tugas tepat jam 2:30am pagi Isnin. Syabas dan terima kasih kepada penduduk yang berkenaan.

Pertandingan tersebut telah dimenangi oleh Pasukan Ronda Isnin yang menggunakan nama De’Roy. Puas sudah kamus Dewan Bahasa diselak namun masih belum dijumpai apakah maksud sebenar De’Roy. Jika ada pun yang terhampir adalah “Boroi”. Anda tafsirlah sendiri. Naib johan disandang oleh Pasukan Ronda Sabtu-Ahad yang menggunakan nama Fu-Yooh! Jejaka Minggu. Lain-lain pasukan menggunakan nama yang berbagai bagi memeriahkan acara. Kepada pasukan yang menang, tahniah diucapkan dan kepada yang kalah, cuba lagi di tahun hadapan.

Pertandingan bermula agak lewat bagi memberi peluang kepada Sukarelawan Ronda untuk turut serta didalam program gotong-royong anjuran Rukun Tetangga Fasa 7. Kepada pihak penaja dan jawatankuasa sementara pertandingan mahupun semua yang menjayakan pertandingan ini, pihak Pasukan Sukarelawan Ronda ingin merakamkan jutaan terima kasih yang tak terhingga. Mohon maaf sekiranya terdapat ketidaksempurnaan kami didalam menganjurkan edisi sulung pertandingan bolatampar tertutup Pasukan Sukarelawan Ronda.

You need to a flashplayer enabled browser to view this YouTube video