Mampukah keadaan diperbetulkan dengan kembali pada pendekatan masa lampau ketika liga bolasepak kita di zaman Semi-Pro. Mungkin ada betulnya idea orang kuat Majlis Sukan Negara (MSN). Penulis masih ingat di zaman Semi-Pro, skuad Malaysia boleh tahan juga pencapaiannya diperingkat ASEAN. Tapi kini apa dah jadi? Mampu ke kita bersaing dengan Vietnam, Thailand dan Indonesia. Ikuti cebisan rencana berkaitan.

Sumber : Berita Harian 24/7/2007

FAM tak rela berpatah balik

Oleh Nahar Tajri dan Mohd Fadzrie Hazis

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak akan berundur untuk kembali ke Liga Semi Pro semata-mata kerana kegagalan di Piala Asia tetapi akan mengkaji punca penurunan prestasi skuad negara dengan membabitkan semua peringkat yang bertanggungjawab untuk memajukannya.

Naib Presiden FAM, Datuk Anifah Aman, berkata apa yang perlu dilakukan sekarang adalah mengkaji punca penurunan prestasi bola sepak negara, bukannya hanya menuding jari kepada FAM.

“FAM sudah menjalankan tanggungjawabnya sebaik mungkin tetapi jelas ia tidak mencukupi dan perlukan pembabitan banyak pihak yang juga bertanggungjawab dalam membangunkan bola sepak negara.

“Soalnya bukan separuh profesional atau profesional tetapi pandang ke depan. Prestasi bola sepak negara tidak boleh diukur dalam masa dua atau tiga tahun tetapi 10 tahun sekurang-kurangnya kerana itulah yang dilakukan oleh negara Asia lain yang lebih maju.

“Kita perlu wujudkan jawatankuasa khas untuk mengkaji segala kelemahan dan diperbaiki untuk memajukan bola sepak negara, katanya ketika diminta mengulas cadangan Majlis Sukan Negara (MSN) supaya Liga Profesional dinilai semula sama ada ia benar-benar menyumbang ke arah pembangunan bola sepak negara.

Semalam akhbar melaporkan Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong, berkata liga profesional gagal melahirkan pasukan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa ketika pasukan negara di era amatur dulu.

Beliau berkata, sudah sampai masanya FAM mencari segala ruang kelemahan dalam penganjuran Liga Profesional dan jika perlu tidak salah bagi FAM berpatah balik kepada penganjuran liga secara separuh profesional.

“Jika ada yang mempertikaikan pandangan ini dengan alasan ia merugikan sukan itu sendiri, saya rasa tiada masalah sebab selama ini kita sudah banyak membazirkan wang untuk sukan itu. Jadi istilah rugi tidak wajar dibangkitkan,” katanya.

Sebaliknya, Anifah berkata pembabitan dari peringkat akar umbi khususnya Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pelajaran amat penting untuk melahirkan pemain bermutu tinggi pada masa depan.

Katanya, ketika ini kebanyakan pemain yang dilahirkan di peringkat bawah misalnya di sekolah, tidak mencapai tahap yang baik kerana kekurangan jurulatih profesional.

“Selain itu, pembangunan sains sukan juga tidak dapat dijalankan dengan giat kerana kebanyakan persatuan negeri tidak mampu membayar pakar dalam bidang ini yang diperlukan untuk membuat kajian dan membangunkan sukan ini, sedangkan ia sudah lama diamalkan di negara maju,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Perak, Steve Darby berkata, bukan semua pemain bola sepak wajar menerima kritikan seperti itu kerana ada antara mereka mempunyai komitmen serta disiplin tinggi sebagai seorang pemain bola sepak profesional.

Malah, beliau turut mengatakan pemain terbaik dalam Liga M mempunyai tahap kecergasan yang setanding dengan pemain profesional di Liga Australia dan juga Liga di England.

Darby turut meminta semua pihak agar tidak terlalu mengenangkan nostalgia bola sepak di zaman 70 an, dan juga berasa cadangan untuk kembali ke era semi-pro adalah satu tindakan kurang wajar.

“Saya bosan apabila masih ada sesetengah pihak yang membuat perbandingan antara bola sepak dulu dan sekarang, kini permainan bola sepak semakin pantas bukan saja di Malaysia tetapi di seluruh dunia,” katanya.