SEMENYIH 27 Mei – Keadaan di pusat perniagaan Bandar Tasik Kesuma di sini yang terbiar berpunca daripada pemajunya yang gagal membangunkan kawasan itu mengikut perancangan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Johan Abdul Aziz.Beliau berkata, projek pembangunan di kawasan itu yang belum siap sepenuhnya telah menyebabkan kawasan komersial itu kurang menjadi tumpuan penduduk dan peniaga kerana keadaannya yang sunyi dan terdedah kepada risiko jenayah.
Tambahan pula, katanya, kemudahan asas di kawasan itu seperti lampu jalan masih tidak dipasang serta ketiadaan pondok polis menambahkan lagi faktor peniaga tidak berminat untuk menjalankan aktiviti di kawasan tersebut.
“Permohonan telah dibuat bagi membina sebuah pondok polis di kawasan itu baru-baru ini tetapi saya tidak pasti sama ada ia akan diluluskan atau tidak,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau tidak menafikan kejadian jenayah seperti pecah kedai sering berlaku di kawasan itu akibat daripada keadaan tempat tersebut yang sunyi terutama pada waktu malam.
“Perkara ini telah diajukan beberapa kali kepada pihak pemaju tetapi sehingga sekarang tiada sebarang tindakan diambil oleh mereka untuk menyelesaikan masalah ini.
“Jika pembangunan Bandar Tasik Kesuma ini dilaksanakan dengan tersusun dan semua kemudahan asas disediakan, saya pasti masalah ini tidak timbul dan pastinya bandar ini tidak akan terpinggir,” ujarnya.
Katanya, pembangunan yang masih belum mencapai seratus peratus tidak menjadi masalah jika pemaju membangunkan kawasan secara berpusat dan bukannya dipecahkan kepada fasa yang jauh antara satu sama lain.
Bagaimanapun, menurut beliau, tindakan untuk memastikan Bandar Tasik Kesuma tidak terus terpinggir akan dilakukan menerusi perbincangan dengan pihak-pihak yang bertanggungjawab.
Sumber : Utusan Malaysia Online 28/5/08