Salam sejahtera. Semalam 12-Mac-2008, saudara Kamal, salah seorang Sukarelawan Ronda (SR) telah kehilangan anak lelakinya berusia 17 tahun akibat kemalangan jalanraya. Suasana hiba menyelubungi perkarangan rumah beliau beralamat di 48, Jln 1/17, Fasa 7B, Bandar Tasik Kesuma menantikan ketibaan jenazah dari hospital Putrajaya. Kejadian kemalangan berlaku di sebelah petang dan bedah-siasat dilakukan pada jam 11 malam. Sementara menantikan ketibaan jenazah, majlis tahlil telah diadakan di surau Al-Fateh dengan dihadiri kira-kira 40 orang. Sukarelawan Ronda yang mengetahui akan berita ini terus memasang khemah dihadapan rumah SR Kamal, manakala pihak surau Al-Fateh pula telahpun bersedia untuk menguruskan jenazah. Lebih kurang jam 1:15am, jenazah tiba dengan van hospital Putrajaya dan terus dibawa masuk ke rumah SR Kamal bagi memberi peluang saudara-mara dan sahabat handai melihat arwah buat kali terakhir. Selepas itu jenazah dibawa ke surau Al-Fateh untuk disembahyangkan. Ramai juga yang turut menyembahyangkan jenazah walaupun jam telah pun menunjukkan hampir 2 pagi. Dianggarkan seramai 50 orang menjadi makmum. Selesai upacara tersebut, jenazah dibawa ke tanah perkuburan Rinching yang terletak 2 km dari rumah SR Kamal untuk disemadikan.
Semoga rohnya dicucuri rahmat. Al-Fatihah.