BERANANG 15 Mei - Permintaan terhadap tanah perkuburan di Lembah Klang semakin bertambah setiap tahun, malah di sesetengah kawasan, kesukaran ‘menempah’ tapak kubur sudah sampai ke tahap kronik.

Ini kerana ada kawasan perkuburan yang semakin terhad tanahnya bagi menerima lebih banyak jenazah baru sehingga ia dihadkan hanya kepada jenazah daripada kalangan ahli kariah kawasan itu saja.

Bagi mengelakkan masalah seumpama itu timbul, Badan Kebajikan dan Khairat Kematian Bandar Tasik Kesuma di sini, berusaha mendapatkan tanah perkuburan sendiri bagi ahli kariahnya dan penantian selama lapan tahun itu akhirnya tercapai.

Ini kerana syarikat pemaju Namfatt menyerahkan tanah seluas kira-kira 4.05 hektar (10 ekar) kepada badan kebajikan itu, manakala, Kor 91 Rejimen Jurutera pula menyediakan khidmat anggota dan peralatan bagi membersih dan meratakan tanah itu untuk dijadikan kubur.

Setelah beberapa minggu bertungkus lumus, anggota-anggota tentera diketuai Leftenan Kolonel Ho Hin Chai dapat menyiapkan tugas tersebut dan semalam, tanah kubur itu secara simbolik diserahkan secara rasmi oleh Ketua Kor Jurutera, Brig. Jen. Datuk Pahlawan Ir. Abdul Nasir Ahmad kepada pengerusi badan kebajikan taman perumahan itu, Mohd. Najib Abdul Kadir.

Abdul Nasir dalam ucapannya pada majlis itu berkata, sumbangan pihaknya kepada projek meratakan tanah perkuburan itu adalah salah satu projek tentera membantu rakyat di bawah program Jiwa Murni dan sempena sambutan ulang tahun Tentera Darat Ke-75.

Sementara itu, Mohd. Najib ketika ditemui memberitahu, sebelum ini penduduk Bandar Tasik Kesuma menumpang tanah perkuburan di Kampung Rinching atau mengkebumikan di kampung asal mereka.

”Dengan keluasan 10 ekar itu, tanah kubur tersebut cukup untuk menampung keperluan penduduk. Sekarang ini terdapat 20,000 unit rumah di Bandar Tasik Kesuma,” katanya.

Bandar Tasik Kesuma yang dibangunkan pada tahun 1998 adalah kawasan bertaraf bandar perumahan terbesar di Beranang dan apabila semua fasanya siap kelak, penghuninya dijangka meningkat hampir 100,000 orang. Ia terletak kira-kira lima kilometer dari pekan Semenyih.

Mohd. Najib menambah, tanah kubur itu masih belum dapat digunakan lagi kerana menunggu bantuan dana bagi melaksanakan kerja-kerja menyiapkan jalan dan longkang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Johan Abdul Aziz pula berkata, pihaknya akan berusaha mendapatkan bantuan dana bagi kerja-kerja membina jalan dan longkang di tanah perkuburan baru itu.

“Kita akui mengenai permintaan besar terhadap tanah kubur dan sebab itu jugalah sebuah tapak perkuburan bersepadu umat Islam seluas 200 ekar dirancang dibina di Semenyih,” katanya yang turut hadir pada upacara penyerahan tanah perkuburan itu.

Pada perkembangan lain, Mohd. Najib berkata, pihaknya akan berusaha merealisasikan pembinaan sebuah masjid dan sekolah agama di Bandar Tasik Kesuma kerana surau sedia ada di Fasa 3C sukar menampung jumlah jemaah setiap kali solat Jumaat.

Menurut Mejar (B) Baharom Mohamad, selain menampung jemaah dari kawasan sekitarnya, surau yang hanya mampu menampung 500 jemaah itu juga digunakan oleh para pelajar dari Kolej Kemahiran Mara dan pekerja asing dari kilang-kilang berhampiran.

”Apabila sebuah kompleks baru Kolej Kemahiran Tinggi Mara menerima kemasukan ribuan pelajar, surau sedia ada bakal menghadapi masalah besar menampung jemaah,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Surau al-Kauthar.

Masjid yang dicadangkan di tapak seluas lebih tiga hektar itu dijangka menelan kos RM10 juta dan mampu menampung kira-kira 5,000 jemaah.

Beliau juga berharap kerajaan dapat menyediakan peruntukan segera bagi membolehkan sekolah agama dapat dibina.

”Selama ini, murid-murid Tahun 1 dan 6 menumpang belajar agama di sebuah rumah kecil di sebelah surau al-Kauthar,” ujarnya.

Sumber : Utusan Online 16/5/08
Share and Enjoy:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • blinkbits
  • blogmarks
  • del.icio.us
  • De.lirio.us
  • Smarking