TABIKA PERPADUAN - PENGENALAN
Program Tabika Perpaduan pula diperkenalkan pada tahun
1976 merupakan program pendidikan prasekolah yang disediakan untuk penyertaan kanak-kanak berbilang kaum yang
berumur dalam lingkungan 5-6 tahun. Tabika Perpaduan dibuka di taman-taman perumahan dan kawasan pinggir bandar
terutamanya di kawasan yang mempunyai Skim Rukun Tetangga bertujuan untuk menyemai nilai-nilai perpaduan sejak dari
awal lagi. Disamping itu tabika perpaduan juga bertujuan untuk mewujudkan peluang kepada ibu bapa kanak-kanak
pelbagai keturunan untuk berinteraksi bagi meningkatkan lagi kesefahaman diantara mereka.
OBJEKTIF
Program Tabika Perpaduan bertujuan membolehkan kanak-kanak berbilang kaum menghayati nilai-nilai
hidup bermasyarakat dan membentuk anak-anak yang memahami adat dan budaya yang pelbagai. Sehingga kini terdapat
1,446 buah kelas Tabika di seluruh negara dengan kanak-kanak berjumlah 37,804 orang. Tabika Perpaduan menggunakan
Kurikulum Prasekolah Kebangsaan dengan pengunaan pelbagai pendekatan supaya aspek pengajaran dan pembelajaran
menjadi lebih menarik, berkesan serta menggembirakan kanak-kanak berasaskan konsep dan prinsip pendidikan
prasekolah. Masa pengajaran dan pembelajaran adalah selama 3 jam sehari disamping aktiviti kokurikulum yang
dijalankan di luar waktu kelas dan dilaksanakan mengikut kesesuaian dengan persetujuan ibu bapa/penjaga.
PROSES PERMOHONAN PEMBUKAAN KELAS TABIKA PERPADUAN
1. PERMOHONAN DARIPADA KAWASAN RUKUN TETANGGA
a) Kawasan Rukun Tetangga menghantar borang permohonan pembukaan Kelas Tabika Perpaduan kepada
Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.
2. TINDAKAN OLEH PEGAWAI PERPADUAN DAERAH/BAHAGIAN
a) Menerima dan mendaftar borang permohonan daripada Kawasan Rukun Tetangga dalam daftar
permohonan pembukaan Kelas Tabika Perpaduan.
b) Menghantar surat akuan terima kepada pemohon dalam masa 14 hari.
c) Mengadakan lawatan ke premis untuk melihat kesesuaian sebagai kelas Tabika Perpaduan.
d) Membuat penilaian terhadap permohonan pembukaan Kelas Tabika Perpaduan berdasarkan kriteria
yang ditetapkan.
e) Membuat perakuan dan mengemukakan permohonan yang lengkap kepada Pengarah Perpaduan
Negeri.
3. TINDAKAN OLEH PENGARAH PERPADUAN NEGERI
a) Menerima dan mendaftar permohonan pembukaan Kelas Tabika Perpaduan.
b) Menghantar surat akuan terima kepada Pegawai Perpaduan Daerah/ Bahagian (kecuali Perlis dan
WP Labuan) dalam masa 14 hari.
c) Membuat perakuan dan mengemukakan permohonan ke Ibu Pejabat mengikut keutamaan.
4. TINDAKAN PEGAWAI IBU PEJABAT
a) Menerima, mendaftar dan memfailkan borang permohonan.
b) Menghantar surat akuan terima kepada Pengarah Perpaduan Negeri dalam masa 14 hari.
c) Menyediakan format untuk tujuan pemilihan.
d) Mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Pembukaan Kelas Tabika Perpaduan sama ada
menerima atau menolak permohonan tersebut dan memaklumkannya kepada PPN dan PPD/PPB.
Nota : Dipetik dari Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional
|