Proses Permohonan Dan Kelulusan Skim Rondaan Sukarela
1. PERMOHONAN DARIPADA PEMASTAUTIN SUKARELAWAN
( PERONDA DI KAWASAN/SEKTOR RUKUN TETANGGA )
a) Sekurang-kurangnya 20 orang Pemastautin Sukarelawan yang berumur 18 tahun dan ke atas,
hendaklah mengemukakan permohonan kepada Jawatankuasa Kawasan/Sektor Rukun Tetangga untuk mengadakan Skim
Rondaan Sukarela.
b) Permohonan hendaklah dibuat dengan menggunakan Borang Enam, Bahagian A dan melengkapkan semua
maklumat yang dikehendaki.
2. TINDAKAN OLEH JAWATANKUASA KAWASAN/SEKTOR RUKUN TETANGGA
a) Menerima dan menyemak butir-butir yang terkandung di dalam Borang Enam, Bahagian A yang
dikemukakan oleh Pemastautin Sukarelawan.
b) Memastikan syarat-syarat seperti bilangan minimum Pemastautin Sukarelawan dan umur mereka
seperti yang ditetapkan.
c) Memastikan semua Pemastautin Sukarelawan telah menandatangani Borang Enam.
d) Menyemak pelan lakar kawasan rondaan yang dicadangkan.
e) Mengisi Borang Enam, Bahagian B jika bersetuju dengan cadangan untuk menjalankan rondaan
sukarela dan mengemukakan Borang Enam kepada Pengarah Perpaduan Negeri/Pegawai Perpaduan Daerah/Bahagian
(PPN/PPD/PPB).
f) Mengisi Borang Enam, Bahagian C jika tidak bersetuju dengan cadangan untuk menjalankan
rondaan sukarela dan mengemukakan Borang Enam kepada PPN/PPD/PPB.
3. TINDAKAN OLEH PPN/PPD/PPB
a) Menyemak borang permohonan.
b) Meneliti butir-butir Pemastautin Sukarelawan seperti yang terkandung di dalam Borang Enam,
Bahagian A.
c) Memanggil Pengerusi Jawatankuasa Kawasan/Sektor Rukun Tetangga yang berkenaan atau mana-mana
Pemastautin Sukarelawan untuk mendapatkan maklumat–maklumat atau butir-butir lain yang dikehendaki berhubung
dengan permohonan itu.
d) Mengesahkan sempadan kawasan rondaan.
e) Membuat perakuan dan mengemukakan permohonan kepada Ketua Pengarah Rukun Tetangga melalui PPN
untuk pertimbangan dan kelulusan.
4. TINDAKAN KETUA PENGARAH RUKUN TETANGGA
a) Mencadangkan apa-apa ubahsuaian yang difikirkan wajar kepada skim yang dipohon.
b) Meluluskan permohonan Skim Rondaan Sukarela.
Panduan Pengendalian Skim Rondaan Sukarela Di Bawah Peraturan-Peraturan Perlu Rukun Tetangga
(1975)
1. PENDAHULUAN
1.1. Skim Rondaan Sukarela adalah suatu skim yang dipohon oleh pemastautin sukarelawan di
bawah Peraturan 27A, Peraturan-Peraturan Perlu Rukun Tetangga (1975), Pindaan 1988.
1.2. Skim ini dikendalikan oleh Jawatankuasa Rukun Tetangga yang bertindak sebagai Jawatankuasa
Skim, manakala rondaan dilaksanakan oleh tidak kurang dari 20 pemastautin sukarelawan yang memohon untuk
melaksanakan rondaan di sebahagian atau di seluruh kawasan Rukun Tetangga.
1.3. Skim Rondaan Sukarela dijangka menjadi tulang belakang bagi program serta aktiviti
Rukun Tetangga kerana ia boleh mencegah kejadian dan gejala sosial negatif di samping dapat merapatkan hubungan
Rukun Tetangga dengan penduduk setempat.
2. TAFSIRAN
2.1. Skim Rondaan Sukarela bermaksud satu skim yang dipohon sendiri oleh pemastautin dan
apabila diluluskan akan dikendalikan sepenuhnya oleh Jawatankuasa Skim dengan kerjasama Pemastautin Sukarelawan
dalam sesuatu Kawasan/Sektor Rukun Tetangga yang berkenaan.
2.2. Jawatankuasa Skim bermaksud Jawatankuasa Kawasan/Sektor yang mengendalikan Skim
Rondaan Sukarela dalam Kawasan/Sektor Rukun Tetangga yang berkenaan.
2.3. Ahli Jawatankuasa Skim bermaksud Ahli Jawatankuasa Kawasan/Sektor Rukun Tetangga yang
mengendalikan Skim Rondaan Sukarela dalam Kawasan/Sektor Rukun Tetangga yang berkenaan.
2.4. Pemastautin Sukarelawan bermaksud seseorang yang telah membuat permohonan melalui
Borang Enam dan Tujuh untuk menyertai Skim tersebut.
2.5. Peralatan Rondaan bermaksud peralatan bagi menjalankan Skim Rondaan Sukarela adalah
seperti vest, wisel, cota, lampu picit, baju hujan dan lain-lain yang dibekalkanoleh Jawatankuasa Skim.
2.6. Pengarah bermaksud seseorang yang telah diwartakan sebagai Pengarah Rukun Tetangga di
bawah Peraturan-Peraturan Perlu (RT) 1975.
3. PUSAT RONDAAN
3.1. Setiap Kawasan/Sektor Rukun Tetangga yang mengendalikan Skim Rondaan Sukarela perlu
mempunyai sebuah pusat rondaan sebagai pusat operasi.
3.2. Pusat rondaan boleh diadakan di pusat atau di bangunan Rukun Tetangga, Balai raya, dewan
orang ramai, pos kawalan, di rumah ahli Jawatankuasa Skim atau di mana-mana tempat yang difikirkan sesuai yang
dibenarkan oleh seseorang Pengarah Rukun Tetangga.
3.3. Alat-alat yang perlu ada di pusat rondaan adalah: Buku Rekod Kedatangan, Daftar
Pemastautin Sukarelawan, Buku Rekod Rondaan, Kotak Pertolongan Cemas dan lain-lain peralatan yang difikirkan
perlu oleh Jawatankuasa Skim atau Pengarah Rukun Tetangga.
4. TUJUAN RONDAAN
4.1. Membantu mencegah jenayah dan gejala sosial yang negatif di dalam kawasan rondaan.
4.2. Membendung kegiatan jenayah dan gejala sosial yang negatif.
4.3. Membantu pihak berkuasa menangkap penjenayah dan menyerahkan penjenayah tersebut
kepada pihak polis dangan kadar segera.
4.4. Membantu menguatkuasa undang-undang jika diminta berbuat demikian oleh Pengarah Rukun
Tetangga dan lain-lain agensi penguatkuasa seperti polis.
4.5. Memberi perlindungan ke atas nyawa dan harta benda pemastautin.
4.6. Membantu melaksanakan lain-lain tugas yang diarahkan oleh seseorang Pengarah Rukun
Tetangga atau Jawatankuasa Skim dari semasa ke semasa.
5. TUGASAN RONDAAN
5.1. Tugas rondaan terbahagi kepada dua (2) kategori iaitu rondaan berjalan kaki dan rondaan
berkenderaan.
5.2. Rondaan berjalan kaki tidak kurang dari 3 orang Pemastautin Sukarelawan dan kawasan
rondaan tidak melebihi 2 kilometer.
5.3. Manakala rondaan berkenderaan tidak kurang dari 3 orang anggota Pemastautin
Sukarelawan dan kawasan rondaan yang lebih luas.
5.4. Rondaan berkenderaan boleh dilaksanaan samada dengan menggunakan kereta, motosikal
atau basikal.
5.5. Setiap Pemastautin Sukarelawan adalah bertanggungjawab bagi mendapatkan tarikh, masa
dan kawasan rondaan daripada Jawatankuasa Skim.
6. TANGGUNGJAWAB JAWATANKUASA SKIM
6.1. Menyediakan Daftar Pemastautin Sukarelawan yang mengandungi butir-butir peribadi
Pemastautin Sukarelawan.
6.2. Menyediakan Roster Rondaan Pemastautin Sukarelawan.
6.3. Memaklumkan kepada semua Pemastautin Sukarelawan kandungan Roster Rondaan dan
membekalkan satu salinan kepada Pengarah Rukun Tetangga dan pihak polis.
6.4. Mempamerkan Roster Rondaan di Pusat Rondaan.
6.5. Memilih seorang Pemastautin Sukarelawan sebagai Ketua Kumpulan Rondaan bagi setiap
syif.
6.6. Menyusun rondaan sukarela.
6.7. Mendapatkan Surat/Kad Pengenalan Diri Pemastautin Sukarelawan yang telah
ditandatangani Pengarah Rukun Tetangga.
6.8. Menyediakan peralatan rondaan yang diperlukan.
6.9. Mendapatkan sumber kewangan dan menjelaskan segala perbelanjaan berkaitan dengan
rondaan sukarela.
6.10. Memberi maklumat yang dikehendaki oleh Pengarah Rukun Tetangga dan pihak Polis dari
masa ke semasa berhubung dengan pengendalian Skim Rondaan Sukarela.
6.11. Menyedia dan mengemukakan Laporan Bulanan Rondaan kepada Pengarah Rukun Tetangga.
7. TAKLIMAT SEBELUM MEMULAKAN RONDAAN
7.1. Ketua Kumpulan Rondaan hendaklah membuat persediaan pada tiap kali sebelum memulakan
rondaan.
7.2. Takliamt sebelum memulakan rondaan hendaklah di sampaikan oleh Ketua Kumpulan Rondaan,
Jawatankausa Skim atau Ahli Jawatankuasa Skim.
7.3. Anggota Pemastautin Sukarelawan hendaklah dibaris 15 minit sebelum keluar membuat
rondaan dengan tujuan memastikan:
7.3.1. Semua anggota Pemastautin Sukarelawan hadir.
7.3.2. Semua anggota Pemastautin Sukarelawan yang bertugas dibekalkan dengan
peralatan rondaan.
7.3.3. Semua anggota Pemastautin Sukarelawan menandatangani Buku Rekod
Kedatangan.
7.4. Memberi taklimat mengenai arahan-arahan seperti berikut:
7.4.1. Laluan serta kawasan rondaan yang telah ditetapkan.
7.4.2. Cara-cara menjalankan rondaan.
7.4.3. Perhubungan dengan orang ramai.
7.4.4. Perhubungan dengan polis dan lain-lain agensi penguatkuasaan.
7.4.5. Arahan daripada Pengarah Rukun Tetangga dan Jawatankuasa Skim.
7.4.6. Memberitahu tempat-tempat yang perlu diambil perhatian untuk
keselamatan diri.
7.4.7. Memberitahu kejadian-kejadian yang telah berlaku berdasarkan
maklumat orang ramai dan rondaan terdahulu dari ini.
7.5. Menyuraikan baris Pemastautin Sukarelawan selepas taklimat.
7.6. Memberi arahan agar rondaan dimulakan mengikut laluan serta kawasan rondaan yang telah
ditetapkan.
8. CARA MENJALANKAN RONDAAN
8.1. Berjalan ditepi jalan dalam jarak yang selamat dari kenderaan dihadapan dan kenderaan
di belakang dan jika berkenderaan, kenderaan mesti dipandu perlahan dalam jarak yang selamat dari pengguna jalan
raya yang lain.
8.2. Sentiasa berwaspada dan mengawasi keadaan serta laluan dan kawasan rondaan.
8.3. Jika rondaan dibuat pada waktu malam hari, elakkan dari membuat bising yang boleh
mengganggu ketenteraman orang ramai.
8.4. Hendaklah menghubungi Pusat Rondaan bagi membuat laporan mengenai keadaan semasa dan
perkara-perkara yang memerlukan tindakan segera Pusat Rondaan.
9. TANGGUNGJAWAB KETUA KUMPULAN RONDAAN
9.1. Mengetahui ahli-ahli kumpulan rondaan dalam syif yang telah ditetapkan.
9.2. Memberi taklimat mengenai arah rondaan, peraturan-peraturan/larangan serta tindakan
yang perlu di ambil semasa rondaan dan sebelum rondaan.
9.3. Mempastikan semua ahli syif menurunkan tandatangan dalam Buku Rekod Kedatangan.
9.4. Mempastikan semua ahli syif membawa peralatan yang ditentukan semasa rondaan.
9.5. Bertanggungjawab mengumpul semua peralatan yang digunakan selepas selesai rondaan dan
menyimpan dalam stor/tempat yang telah ditentukan oleh Jawatankuasa Skim.
9.6. Mengawasi supaya ahli-ahli mematuhi arahan dan peraturan yang ditetapkan oleh Jawatankuasa
Skim.
9.7. Membuat laporan dalam buku catatan Rondaan sesudah selesai menjalankan rondaan mengikut
syif yang telah ditetapkan.
10. TANGGUNGJAWAB PEMASTAUTIN SUKARELAWAN SEMASA RONDAAN
10.1. Sentiasa bersedia untuk mematuhi segala arahan daripada Pengarah Rukun Tetangga,
Jawatankuasa Skim, Ahli Jawatankuasa Skim dan Ketua Kumpulan Rondaan.
10.2. Sentiasa membawa Surat/Kad Pengenalan Diri dan menggunakan alat-alat yang ditentukan
oleh Pengarah Rukun Tetangga dan Jawatankuasa Skim.
10.3. Sentiasa menjaga disiplin serta berkelakuan penuh tertib dan sopan semasa menjalankan
Skim Rondaan Sukarela.
10.4. Sentiasa memakai ‘uniform’ yang telah diluluskan serta dibenarkan oleh seseorang
Pengarah Rukun Tetangga semasa rondaan.
10.5. Seseorang Pemastautin Sukarelawan hendaklah pada sepanjang masa dan ketika:
a. Tidak mengingkari arahan Ketua Kumpulan Rondaan
b. Tidak menggunakan bahasa lucah dan memalukan, serta memaki hamun pada masa
bertugas;
c. Tidur atau berjudi;
d. Tidak memberi maklumat palsu;
e. Tidak hadir bertugas tanpa sebab;
f. Tidak berada di bawah pengaruh alkohol atau apa-apa dadah pada masa bertugas;
g. Tidak secara cual atau tanpa sebab-sebab yang berpatutan menyebabkan terlepasnya
tembakan sesuatu senjata api pada masa bertugas; dan
h. Tidak bertindak dengan apa-apa cara yang tidak dinyatakan di atas yang boleh memudaratkan
kebajikan sesuatu Kawasan/Sektor Rukun Tetangga.
11. KUASA MATA-MATA PEMASTAUTIN SUKARELAWAN SEMASA RONDAAN
11.1. Seseorang Pemastautin Sukarelawan semasa bertugas meronda atau mengawal dalam kawasan
tugasnya adalah disifatkan sebagai seorang pegawai polis berpangkat mata-mata dan mempunyai segala kewajipan,
segala kuasa dan segala imuniti seorang pegawai polis berpangkat mata-mata.
11.2. Walau bagaimanapun, kuasa mata-mata Pemastautin Sukarelawan semasa bertugas meronda
atau mengawal dalam kawasan tugasnya adalah tertakluk kepada apa-apa atahan, syarat, sekatan atau batasan yang
boleh dinyatakan semasa secara lisan atau bertulis oleh seorang Pengarah, Jawatankuasa Skim atau ahli
Jawatankuasa Skim.
12. TAKLIMAT SELEPAS TAMAT RONDAAN
12.1. Ambil baris anggota Pemastautin Sukarelawan yang habis tugas di luar pusat
rondaan.
12.2. Ketua Kumpulan Rondaan perlu menentukan:
12.2.1. Semua anggota Pemastautin Sukarelawan baik dari tugas rondaan.
12.2.2. Arahan mengembalikan peralatan rondaan.
12.2.3. Memberi taklimat mengenai hasil daripada rondaan yang telah dilaksanakan.
12.2.4. Menyurai baris tugas.
12.2.5. Membuat catatan serta laporan rondaan di dalam Buku Rekod Rondaan.
13. MENJAWAB PANGGILAN TELEFON
13.1. Hendaklah menjawab telefon dengan tertib dan sopan santun sebagai mana kehendaki oleh
Pengarah Rukun Tetangga dan Jawatan Skim.
13.2. Mendengar dengan teliti dan mencatat apa-apa aduan, berita atau makluman yang hendak
disampaikan oleh mereka yang membuat panggilan.
13.3. Memaklumkan dengan kadar segera apa-apaa aduan, berita atau makluman kepada
Pengarah Rukun Tetangga, Jawatankuasa Skim atau pihak polis; jika ianya memerlukan tindakan segera dan serta
merta.
14. PERSIAPAN MENYERAH TUGAS PENYELIAAN DI PUSAT RONDAAN
14.1. Ahli Jawatankuasa Skim atau Pemastautin Sukarelawan yang ditugaskan di Pusat Rondaan
dikehendaki membuat catatan satu senarai untuk serah menyerah tugas bagi menyenangkan untuk meneliti dan
mempastikan semua perkara dalam keadaan lengkap.
14.2. Sebelum menerima tugas, ahli Jawatankausa Skim atau Pemastautin Sukarelawan yang akan
mengambil alih tugas menyelia Pusat Rondaan, mempastikan semua borang dan peralatan yang adalah lengkap dan
sempurna.
14.3. Memberi taklimat dan arahan tugas kepada yang menerima tugas menyelia Pusat
Rondaan.
14.4. Memberitahu jika ada aduan atau kes-kes terbaru yang diterima.
14.5. Memberi penerangan mengenai tahunan atau tangkapan samada masih dalam tahunan atau
telah diserah kepada pihak polis.
14.6. Bersurai setelah diambil alih oleh ahli Jawatankuasa Skim atau Pemastautin
Sukarelawan yang baru masuk bertugas.
15. LAIN-LAIN TUGAS DI PUSAT RONDAAN
15.1. Membantu orang ramai menunjukkan tempat yang ingin mereka pergi, contoh seperti ke
rumah saudara mara dan sebagainya.
15.2. Menjadi mediator dalam sebarang pertelingkahan orang ramai jika diminta berbuat
demikian.
15.3. Menghubungi Balai Polis berhampiran bagi mendapatkan maklumat atau bantuan jika
diperlukan.
16. PENYELARASAN TUGAS DI PUSAT RONDAAN
16.1. Penyelarasan tugas di Pusat Rondaan akan ditentukan oleh Jawatankuasa Skim.
16.2. Jawatankausa Skim bertanggungjawab melantik tidak kurang daripada 4 orang ahli
Jawankuasa Skim atau Pemastautin Sukarelawan pada satu-satu masa sebagai Penyelia di pusat Rondaan sewaktu
rondaan sedang dilaksanakan.
16.3. Jawatankausa Skim bertanggungjawab bagi menentukan waktu bertugas ahli Jawatankausa
Skim atau Pemastautin Sukarelawan sebagai Penyelia Pusat Rondaan mengikut roster rondaan yang telah
ditetapkan.
16.4. Jawatankuasa Skim hendaklah melantik salah seorang Penyelia Pusat Rondaan sebagai
Ketua Penyelia Pusat Rondaan.
17. TUGAS PENYELIA PUSAT RONDAAN
17.1. Penyeliaan Pusat Rondaan hendaklah tiba di Pusat Rondaan satu (1) jam lebih awal
sebelum syif rondaan bermula.
17.2. Penyelia Pusat Rondaan hendaklah mempastikan semua peralatan termasuk buku catatan
bagi kegunaan rondaan telah disediakan oleh Jawatankausa Skim.
18. PERHUBUNGAN DENGAN ORANG RAMAI
18.1. Mempastikan Ahli Jawatankausa Skim atau Pemastautin Sukarelawan yang bertugas di
Pusat Rondaan atau yang menjalankan rondaan sentiasa menjaga disiplin, sopan dan santun serta berbudi bahasa dan
pekerti yang tinggi mutunya sewaktu berurusan dengan orang ramai.
19. KERJASAMA DENGAN PIHAK POLIS
19.1. Pihak polis hendaklah dimaklumkan mengenai kewujudan Skim Rondaan Sukarela di
Kawasan/Sektor Rukun Tetangga yang berkenaan.
19.2. Satu salinan daftar Pemastautin Sukarelawan yang terlibat dengan Skim Rondaan
Sukarela dan roster hendaklah diberikan kepada pihak polis.
19.3. Semua pihak termasuk Jawatankausa Skim, Ahli Jawatankausa Skim dan Pemastautin
Sukarelawan hendaklah memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis berhubung dengan sebarang maklumat
mengenai Skim Rondaan Sukarela.
19.4. Pihak polis hendaklah juga dijemput untuk bersama-sama meronda bersama Pemastautin
Sukarelawan.
19.5. Sebarang kejadian atau laporan yang mencurigakan hendaklah dimaklumkan kepada pihak
polis sama ada oleh Jawatankuasa Skim Rondaan Ahli Jawatankuasa Skim dan Pemastautin Sukarelawan.
20. MENERIMA ADUAN ORANG RAMAI DI PUSAT RONDAAN
20.1. Apabila menerima aduan daripada orang ramai, tindakan yang perlu diambil oleh ahli
Jawatankuasa Skim adalah:
20.1.1. Menerima dan membuat catatan di dalam buku catatan.
20.1.2. Memaklumkan kepada Jawatankuasa Skim dengan kadar segera.
20.1.3. Menerima arahan daripada Jawatankuasa Skim untuk tindakan
selanjutnya.
20.1.4. Merujuk kepada Balai Polis yang berdekatan untuk tindakan
selanjutnya.
20.1.5. Merujuk kepada Pengarah Rukun Tetangga untuk tindan selanjutnya.
21. KERJASAMA DENGAN LAIN-LAIN AGENSI KERAJAAN
21.1. Skim Rondaan Sukarela juga berharap untuk mendapatkan kerjasama dengan
lain-lain Agensi Kerajaan seperti RELA, JAKIM, MAJLIS PERBANDARAN, PEJABAT, pejabat daerah serta lain-lain
Agensi Penguatkuasaan undang-undang dalam manjayakan Skim ini.
21.2. Sebarang bentuk kerjasama dengan lain-lain agensi kerajaan boleh dibincangkan
bersama dengan Pengarah Rukun Tetangga dan Jawatankuasa Skim di mana Skim Rondaan Sukarela dilaksanakan.
Nota : Dipetik dari Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional
|