Sejarah Kajang
Kajang dan
kawasan sekitarnya merupakan sebuah mukim yang terletak di
dalam Daerah Hulu Langat di negeri Selangor. Ia terletak lebih
kurang 14 batu di sebelah Tenggara Kuala Lumpur. Dari Kuala
Lumpur, Kajang dihubungi melalui jalan raya dan jalan keretapi.
Kajang juga dapat dihubungkan dengan Putrajaya, Pusat
Pentadbiran Negara dan Cyber Jaya Bandar Multimedia negara. Di
sebelah Baratnya pula terletak bandar Puchong, Batu 3 dan
Klang. Pada dasarnya Kajang terdiri dari beberapa penempatan
Melayu, China dan India.
Kawasan perkampungan rata-rata didiami oleh
orang-orang Melayu. Orang-orang China tinggal secara berselerak
di sekitar bandar Kajang. Manakala kawasan-kawasan ladang getah
didiami oleh orang-orang berketurunan India. Para yang lain
dilihat dari susut topografinya pula, mukim Kajang adakah
terletak di kawasan tanah tinggi iaitu lebih kurang 76,250sm
dari paras laut. Kebanyakan pemukaan buminya adalah berbukit
bukau dan dipenuhi oleh gunung. Tanah datarnya terdapat di
kawasan-kawasan lembangan sungai seperti Sungai Langat, Sungai
Bangi, Sungai Semenyih dan Sungai Chua. kawasan-kawasan inilah
yang merupakan tempat-tempat awal yang mula diterokai untuk
penempatan di mukim Kajang.
Masyarakat Melayu Tradisional gemar meneroka
tempat kediaman di lembah-lembah sungai iaitu di
lembangan-lembangan. Terutamanya di lembah-lembah Sungai
Bernam, Sungai Selangor, Sungai Klang, Sungai Langat dan Sungai
Lukut. Sebenarnya pengertian Selangor bermakna Tanah Lembangan
Lima Bintang Sungai-sungai tersebut. Pada waktu itu sungai
menjadi jalan perhubungan untuk keluar masuk bagi satu-satu
kawasan penempatan. Lembah-lembah sungai ini sangat subur untuk
bercucuk tanam dan ia sesuai dengan petani-petani yang
bergantung hidup kepada tanah. Mereka juga menjalankan aktiviti
menangkap ikan.
Kewujudan pekan Kajang juga bertitik tolak
daripada faktor-faktor ini. Terdapat beberapa cerita lisan
berkenaan dengan penerokaan awal pekan Kajang dan kawasan
sekitarnya. Menurut orang-orang tua Kajang dan kawasan
sekitarnya sebelum didatangi peneroka-peneroka dari luar adalah
merupakan kawasan kediaman orang-orang asli dari Suku Temuan.
Menurut seorang pengkaji sejarah tempatan En. Shahabudin Ahmad,
Kajang telah diterokai pada tahun 1709 oleh orang-orang Asli
yang berpusat di Klang. Pada waktu itu klang diperintah oleh
orang-orang Asli yang ketuanya dipanggil Batin Seri Alam. Ketua
ini mentadbir di Klang kerana ketika itu hutan ini adalah pusat
pentadbiran bagi orang-orang asli. Klang mempunyai jajahannya
yang tersendiri yang ditadbirkan oleh 3 orang anak kepad Batin
Seri Alam.
Jajahan-jajahan tersebut ialah Johor yang
ditadbirkan oleh Datuk Nenek Kerbau, Jelebu pula diperintah
oleh Datuk Jelondang dan Sungai Ujung yang diperintah oleh
Batin Bercanggai Besi. Mengikut cerita dogeng Batin Bercanggai
Besi mempunyai seorang anak angkat perempuan bernama Puteri
Mayang Selinda yang mempunyai paras yang sangat cantik. Apabila
Sultan Johor mengetahui akan Puteri ini baginda pun
memerintahkan agar Puteri itu dipersembahkan kepadanya. Memang
telah menjadi adat ketika itu apa-apa saja yang dikehendaki
oleh Sultan akan dituruti. Berikutan dengan itu satu rombongan
telah diadakan untuk menghantar Puteri Mayang Selinda ke
Johor.
Setelah selesai upacara penyerahan puteri
tersebut kepada Sultan Johor, rombongan itu telah kembali
semula ke Klang. Sultan Johor telah memberikan banyak hadiah
kepada mereka termasuk pakaian dan lembing. Mereka pulang
dengan menaiki sampan melalui Sungai Langat.
Setelah dua hari perjalanan mereka sampai di
tempat sekitar keretapi Kajang yang ada sekarang. Disebabkan
hari sudah malam, mereka bermalam dan bercadang untuk
berkampung di situ. Ini disebabkan mereka mendapati kawasan itu
sesuai untuk dijadikan kawasan penempatan. Mereka mendirikan
'kajang' iaitu pondok-pondok yang beratapkan daun mengkuang
hutan. Justeru kerana itu, tempat itu dinamakan Kajang iaitu
'Kajang' yang didirikan.
Ada juga sumber-sumber lain yang menerangkan
asal kejadian Kajang. Sumber tersebut menyatakan bahawa suatu
ketika dulu terdapat dua orang sahabat menaiki sampan melalui
Sungai Langat untuk pergi ke Pekan Reko. Mereka adalah terdiri
dari seorang Melayu dan seorang Asli yang mendiami kawasan
Reko. Apabila sampai ke Kajang, ( ketika itu belum bernama
kajang ), hujan turun dengan lebatnya. Orang Melayu mengajak
rakannya ' berkajang ' di situ. Menurut cerita itu ' berkajang
' bagi orang Melayu ialah berteduh, tetapi orang Asli tersebut
memahami ' berkajang ' itu sebagai bertikam. Disebabkan salah
faham akan maksud rakannya itu maka orang Asli terus menikam
rakannya. Dengan perisiwa bertikam itu maka tempat itu
dinamakan Kajang.
Terdapat satu cerita yang lain telah
menafikan cerita tersebut. Dikisahkan Kajang telah diterokai
oleh orang-orang Klang yang lari menyelamatkan diri semasa
berlaku perang saudara di Selangor. Menurut cerita ini mereka
yang melarikan diri dari peperangan tersebut telah mendaki
Sungai Langat hingga ke Kuala Jeluk iaitu dibelakang panggung
wayang ' Sun' yang ada sekarang. Mereka berhenti di situ dan
mendapati kawasan itu sesuai untuk dijadikan tempat kediaman.
Mereka mendirikan pondok-pondok sesuai dan atapnya dibuat dari
daun mengkuang berbetuk seperti bumbung kereta lembu Melaka
yang mereka namakan ' Kajang '. Mereka kemudiannya berkampung
di situ dan menamakan tempat itu Kajang. Tetapi dalam cerita
tersebut terdapat pula peristiwa yang lain membolehkan Kajang
mendapat nama. Mengikut ceritanya, apabila hari senja
orang-orang pelarian itu telah sampai ke satu tempat. Seorang
ketua bagi orang-orang Mandailing telah melaungkan kepada
orang-orangnya dengan berkata ' berkajang ' kita di sini.
Perkataan ini telah disalah fahamkan oleh beberapa orang
pengikutnya yang berketurunan Bugis. Mereka menganggap
perkataan berkajang itu bermakna bertikam. Peristiwa itu
hampir-hampir menumpahkan darah. Dari sinilah timbulnya
perkataan Kajang dan tempat itupun di namakan Kajang.
Selain dari sumber-sumber lisan, terdapat
juga sumber-sumber bertulis yang cuba menerangkan pembukaan
Kajang. Terdapat fakta yang menyebut bahawa Kajang telah dibuka
oleh ayah kepada Raja Alang iaitu Raja Berayun. Raja Berayun
ialah seorang anak raja yang melarikan diri ke Selangor dari
peperangan saudara di Sumatera. Di negeri Selangor beliau telah
bersahabat baik dengan Sultan Abdul Samad. Raja Berayun
kemudiannya telah membuka Kajang dan memerintah daerah Kajang
dengan gelaran Tengku Panglima Besar.
Dalam versi yang lain pula, terdapat satu
laporan dari penghulu Yahya yang menjadi penghulu di Kajang dan
Cheras pada tahun 1891 mengatakan Kajang telah dibuka oleh En.
Lili dari Piau kira-kira dalam tahun 1776. Dalam laporannya
kepada Pegawai Daerah Ulu Langat, ia seterusnya mengatakan
:
"......Sultan Muhammad beri dia ( Encik Lili
) kuasa mmebuka tanah di Hulu Langat dari Sungai Sabak Dua ke
hulu bersempadan dengan Dato' Langat, dihilir bersempadan
dengan Dato' Ali. Encik Lili dengan enam orang rakannya telah
berpindah ke bukit Kuala Sungai Merbau yang kemudiannya
menamakannya Kajang dan Lili telah dilantik oleh Sultan
Muhammad menjadi Dato' Bandar Kajang. Beliau telah diberikan
kuasa memerintah kawasan daripada Sabak Dua hingga ke hilir
Sungai Subang Hilang. Sultan juga telah membenarkan LIli untuk
membuka lombong di Kuala Sungai Merbau. "
Didapati cerita-cerita seperti yang telah
dipaparkan di atas tidak dapat ditentukan kebenarannya dari
fakta sejarah. Umpamanya pembukaan kawasan Kajang pada abad
ke-19 oleh orang-orang Klang yang lari untuk menyelamatkan diri
dari perang saudara di Selangor itu adalah tidak begitu tepat.
ini kerana penulis merasakan bahawa Kajang telah diterokai
lebih awal dari situ. Ini berdasarkan kepada kenyataan bahawa
orang-orang Melayu Sumatera telah pun mendiami Kajang ketika
perang tersebut berlaku. Mereka yang ketika itu di bawah kuasa
dan pengaruh Sultan Puasa telah menyebelahi dan membantu Raja
Mahadi untuk mengadakan pemberontakan di Selangor. Lebih dari
itu pekan Kajang pernah dijadikan pengkalan untuk
pengikut-pengikut Raja Mahadi yang diketuai oleh seorang
Mandailing bernama Raja Asal.
Walaupun terdapat fakta sejarah yang
mengatakan penempatan di daerah Hulu Langat ( termasuk Kajang )
berlaku pada akhir perang saudara di Selangor iaitu pada 1874
hingga 1920 tetapi terdapat juga kawasan-kawasan di daerah
tersebut yang lebih awal diterokai. Terdapat beberapa mukim
daerah Hulu Langat yang dibuka lebih awal lagi. Contohnya
Cheras, Semenyih dan Beranang dibuka kira-kira pada tahun 1870.
Dengan itu, berkemungkinan kawasan Kajang telah dibuka lebih
awal dari tarikh itu adalah tidak dapat diperkecilkan.
Perkataan Kajang lahir daripada
beberapa sumber berikut :
PENDAPAT PERTAMA
: Adalah dipercayai Kajang telah diterokai oleh
orang-orang suku Temuan kira-kira tahun 1580 lagi. Suku inilah
yang memberi nama Kajang berdasarkan sejenis mengkuang hutan
yang digunakan untuk membuat atap yang tumbuh dengan banyaknya
di kawasan itu.
PENDAPAT KEDUA :
Batin Berenggai Besi merupakan seorang pembesar di Sungai
Ujong. Pernah mendirikan pondok-pondok di pinggir sungai yang
terletak di kawasan Kajang sekarang dengan menggunakan atap
mengkuang. Kemudian, beliau berkesimpulan tempat ini sesuai
untuk dijadikan penempatan. Sempena bentuk atap mengkuang lipat
kajang pondok yang didirikan itulah lahirnya nama Kajang.
PENDAPAT KETIGA :
Menurut satu riwayat, maksud perkataan ' berkajang ' bagi orang
Mendailing berpondok. Manakala bagi orang Bugis ' bertikam atau
bergaduh '. Kedua-dua puak ini pernah bertikaman di salah
sebuah kawasan bukit berhadapan stesen keretapi yang ada
sekarang, kerana salah faham maksud perkataan ' berkajang '.
Peristiwa ini berlaku semasa kedua-dua golongan ini menghulu
Sg. Langat kerana melarikan diri dari perang saudar yang
berlaku di Kelang di antara tahun 1867 hingga 1873. Setelah
peristiwa tersebut tempat ini diberi nama Kajang
PENDAPAT KEEMPAT : Ada
sumber lain mengatakan Kajang telah dibuka oleh Encik Lili juga
dikenali sebagai Toh Lili yang datang dari Riau pada tahun
1776. Beliau adalah pengikut Sultan Mohamed Shah Ibni Al-Marhum
Sultan Ibrahim Shah yang berasal dari Riau. Dengan kebenaran
Sultan, beliau bersama enam orang rakan telah membuka tanah
untuk penamaan padi di Bukit Sg. Merbau dan membuka lombong @
Sungai Merbau yang kini dikenali sebagai KAJANG.
PENDAPAT KELIMA : Raja
Alang dari suku Mandailing bersama sekumpulan pengikutnya
datang ke Tanah Melayu pada awal tahun 1800. Kumpulan ini
belayar memasuki Tanah Melayu melalui Kuala Sungai Langat.
Setelah beberapa hari berlayar, mereka berteduh atau
'berkajang' disuatu kawasan yang sekarang ini dipanggil Jalan
Mandailing. Sebahagian pengikut-pengikut Raja Alam telah
menerokai kawasan Kampung Batu 14 sekarang dengan penanaman
padi. Penempatan mereka ini akhirnya dimasyhurkan dengan nama
Kajang oleh Raja Alam..
Sumber :
MPKj
|