Rukun Tetangga - Pengenalan
Skim Rukun Tetangga diperkenalkan pada tahun 1975 sebagai satu langkah membolehkan rakyat sendiri mengawal dan
menjaga keselamatan kawasan kediaman mereka. Skim ini kemudiannya diperbaharui dengan menekankan konsep kejiranan dengan falsafah bahawa
kesejahteraan kawasan sejiran akan menjamin kesejahteraan negara. Pada masa kini peranan Skim Rukun Tetangga di perluaskan lagi dengan
pendekatan pembangunan komuniti bagi memastikan perpaduan dan keharmonian hubungan di dalam masyarakat akan terus berkekalan dan
berterusan.
Sehingga Mei 2006 sebanyak 3,228 Kawasan Rukun Tetangga telah ditubuhkan diseluruh negara. Jawatankuasa Rukun
Tetangga ini telah menganjurkan berbagai aktiviti di dalam komuniti mereka. Dari bulan Januari hingga Mei 2006 Jawatankuasa
Rukun Tetangga di seluruh negara telah melaksanakan sebanyak 36,029 aktiviti. Aktiviti ini bertujuan untuk membolehkan penduduk
setempat berkenalan, bantu-membantu dalam menghadapi masalah bersama, berinteraksi dan merapatkan hubungan diperingkat akar umbi di antara
pemimpin dengan rakyat dan di antara rakyat pelbagai keturunan, adat dan budaya.
Pengertian Logo Rukun Tetangga

Keseluruhan Logo ini mengutarakan fungsi dan matlamat Rukun Tetangga (RT) ke arah pembentukan Bangsa Malaysia berlandaskan
Rukun Negara.
Bulatan Besar
Bulatan besar pada logo ini menggambarkan rakyat negara ini sentiasa bermuafakat dan hidup bersatu padu.
Warna Warna-warna yang digunakan pada logo ini adalah seperti mana yang terdapat pada Jalur Gemilang iaitu: Biru -
Bermuafakat dan bersatu padu
Merah - Keberanian dan keluhuran
Kuning - Kejayaan dan keharmonian
Putih - Kesucian dan bertangungjawab
5 Bulatan Kecil Warna Merah Lima bulatan berwarna merah di bahagian atas Logo ini membawa pengertian lima prinsip Rukun
Negara dan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Mesej yang dibawa menerusi simbol ini ialah seluruh rakyat mendukung dengan semangat kental serta
luhur falsafah dan aspirasi Rukun Negara dengan mengamalkan dan menghayatinya.
2 Bentuk Titisan Air Terbalik Di bawah bulatan pada Logo ini terdapat 2 bentuk titisan air terbalik digambarkan seperti
orang membawa maksud bahawa rakyat negara ini sentiasa bersungguh-sungguh berganding bahu bagi membentuk satu Bangsa Malaysia yang bersatu
padu.
Garisan Berwarna Merah Dua garisan berwarna merah yang terdapat di kiri dan kanan Logo ini membawa pengertian bahawa
seluruh rakyat Malaysia sedia menghadapi apa jua ancaman dan serangan dalam usaha membentuk perpaduan dan keharmonian sejagat yang akhirnya
membentuk satu Bangsa Malaysia yang bersatu padu.
Segi Tiga Berwarna Kuning Segi tiga berwarna kuning yang terdapat di bawah Logo ini membawa pengertian bahawa Rukun Negara
merupakan panduan seluruh rakyat Malaysia dalam usaha membangunkan Malaysia dengan mengambil kira nilai-nilai murni yang diamalkan bersama.
Garisan merah di atas garisan putih
Barisan warga Rukun Tetangga (RT) yang gagah berani mempertahankan keamanan Negara daripada segala bentuk ancaman dengan rasa keikhlasan dan
ketelusan yang tiada tolok bandingnya.
Keseluruhan Garisan Berwarna Biru Keseluruhan garisan berwarna biru memberi maksud bahawa rakyat Malaysia menggunakan
pelbagai cara yang difikirkan sesuai mengikut nilai-nilai murni yang amalkan bersama bagi tujuan membentuk satu Bangsa Malaysia yang bersatu padu
bagi menjamin pembangunan negara.
Tatacara dan Proses Permohonan Penetapan Kawasan Rukun Tetangga
1. PERMOHONAN DARIPADA PENDUDUK
a) Membuat surat permohonan penetapan Kawasan Rukun Tetangga kepada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.
b) Mengisi Borang JPNIN (RT) 1/98 dan ditandatangani oleh wakil penduduk beserta dengan maklumat asas kawasan, cadangan senarai nama
jawatankuasa penaja, minit perjumpaan dengan penduduk dan peta kawasan.
c) Mengemukakan permohonan yang lengkap kepada Pegawai Perpaduan Daerah/Bahagian.
2. TINDAKAN PEGAWAI PERPADUAN DAERAH/BAHAGIAN
a) Menerima surat permohonan penetapan kawasan rukun tetangga dan membuka fail.
b) Menghantar surat akuan terima permohonan penetapan kawasan rukun tetangga kepada wakil penduduk.
c) Mengaturkan Majlis Perjumpaan dengan penduduk dan mengadakan sesi taklimat mengenai penubuhan Jawatankuasa Penaja Rukun Tetangga.
d) Memohon sokongan Pegawai Daerah untuk penetapan kawasan rukun tetangga (kecuali negeri-negeri tertentu).
e) Menyediakan pelan lakar kawasan dan diskripsi sempadan kawasan rukun tetangga yang dicadangkan.
f) Mengemukakan Borang Permohonan JPNIN(RT)1/98, Maklumat Asas Kawasan, Senarai Cadangan Nama Jawatankuasa Penaja Rukun Tetangga, Peta
Kawasan, Pelan Lakar Kawasan, Diskripsi Sempadan dan surat sokongan Pegawai Daerah (kecuali negeri-negeri tertentu) kepada Pengarah Jabatan
Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.
3. TINDAKAN PENGARAH PERPADUAN NEGERI
a) Menyemak Borang Permohonan, maklumat serta dokumen yang dikemukakan oleh Pegawai Perpaduan Daerah/ Bahagian.
b) Menghantar surat akuan terima kepada Pegawai Perpaduan Daerah/Bahagian. Jika tidak lengkap kembalikan kepada PPD/PPB untuk
dilengkapkan.
c) Mengemukakan permohonan yang lengkap ke Ibu Pejabat.
4. TINDAKAN PEGAWAI DI IBU PEJABAT
a) Merekod penerimaan dan menyemak permohonan penetapan kawasan rukun tetangga.
b) Menghantar surat akuan terima kepada Pengarah Perpaduan Negeri. Kembalikan Jika tidak lengkap kembalikan kepada PPN untuk dilengkapkan.
c) Membuat perakuan untuk kelulusan Ketua Pengarah Rukun Tetangga.
d) Menetapkan tarikh penguatkuasaan Notis Penetapan.
e) Mengemukakan Notis Penetapan kepada Pengarah Perpaduan Negeri/Pegawai Perpaduan Daerah/Bahagian.
Nota : Dipetik dari Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional
|