Rukun Tetangga - Pengenalan
Skim Rukun Tetangga diperkenalkan pada tahun 1975 sebagai satu langkah
membolehkan rakyat sendiri mengawal dan menjaga keselamatan kawasan kediaman mereka. Skim ini kemudiannya
diperbaharui dengan menekankan konsep kejiranan dengan falsafah bahawa kesejahteraan kawasan sejiran akan
menjamin kesejahteraan negara. Pada masa kini peranan Skim Rukun Tetangga di perluaskan lagi dengan pendekatan
pembangunan komuniti bagi memastikan perpaduan dan keharmonian hubungan di dalam masyarakat akan terus
berkekalan dan berterusan.
Sehingga Mei 2006 sebanyak 3,228 Kawasan Rukun Tetangga telah ditubuhkan diseluruh negara.
Jawatankuasa Rukun Tetangga ini telah menganjurkan berbagai aktiviti di dalam komuniti mereka.
Dari bulan Januari hingga Mei 2006 Jawatankuasa Rukun Tetangga di seluruh negara telah
melaksanakan sebanyak 36,029 aktiviti. Aktiviti ini bertujuan untuk membolehkan penduduk setempat berkenalan,
bantu-membantu dalam menghadapi masalah bersama, berinteraksi dan merapatkan hubungan diperingkat akar umbi di
antara pemimpin dengan rakyat dan di antara rakyat pelbagai keturunan, adat dan budaya.
Pengertian Logo Rukun Tetangga

Keseluruhan Logo ini mengutarakan fungsi dan matlamat Rukun Tetangga (RT) ke
arah pembentukan Bangsa Malaysia berlandaskan Rukun Negara.
Bulatan Besar
Bulatan besar pada logo ini menggambarkan rakyat negara ini sentiasa bermuafakat dan hidup bersatu padu.
Warna Warna-warna yang digunakan pada logo ini adalah seperti mana yang
terdapat pada Jalur Gemilang iaitu: Biru - Bermuafakat dan bersatu padu
Merah - Keberanian dan keluhuran
Kuning - Kejayaan dan keharmonian
Putih - Kesucian dan bertangungjawab
5 Bulatan Kecil Warna Merah Lima bulatan berwarna merah di bahagian atas
Logo ini membawa pengertian lima prinsip Rukun Negara dan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Mesej yang dibawa
menerusi simbol ini ialah seluruh rakyat mendukung dengan semangat kental serta luhur falsafah dan aspirasi Rukun
Negara dengan mengamalkan dan menghayatinya.
2 Bentuk Titisan Air Terbalik Di bawah bulatan pada Logo ini terdapat 2
bentuk titisan air terbalik digambarkan seperti orang membawa maksud bahawa rakyat negara ini sentiasa
bersungguh-sungguh berganding bahu bagi membentuk satu Bangsa Malaysia yang bersatu padu.
Garisan Berwarna Merah Dua garisan berwarna merah yang terdapat di kiri dan
kanan Logo ini membawa pengertian bahawa seluruh rakyat Malaysia sedia menghadapi apa jua ancaman dan serangan
dalam usaha membentuk perpaduan dan keharmonian sejagat yang akhirnya membentuk satu Bangsa Malaysia yang bersatu
padu.
Segi Tiga Berwarna Kuning Segi tiga berwarna kuning yang terdapat di bawah
Logo ini membawa pengertian bahawa Rukun Negara merupakan panduan seluruh rakyat Malaysia dalam usaha membangunkan
Malaysia dengan mengambil kira nilai-nilai murni yang diamalkan bersama.
Garisan merah di atas garisan putih
Barisan warga Rukun Tetangga (RT) yang gagah berani mempertahankan keamanan Negara daripada segala bentuk ancaman
dengan rasa keikhlasan dan ketelusan yang tiada tolok bandingnya.
Keseluruhan Garisan Berwarna Biru Keseluruhan garisan berwarna biru memberi
maksud bahawa rakyat Malaysia menggunakan pelbagai cara yang difikirkan sesuai mengikut nilai-nilai murni yang
amalkan bersama bagi tujuan membentuk satu Bangsa Malaysia yang bersatu padu bagi menjamin pembangunan negara.
Tatacara dan Proses Permohonan Penetapan Kawasan Rukun Tetangga
1. PERMOHONAN DARIPADA PENDUDUK
a) Membuat surat permohonan penetapan Kawasan Rukun Tetangga kepada Jabatan Perpaduan Negara dan
Integrasi Nasional.
b) Mengisi Borang JPNIN (RT) 1/98 dan ditandatangani oleh wakil penduduk beserta dengan maklumat
asas kawasan, cadangan senarai nama jawatankuasa penaja, minit perjumpaan dengan penduduk dan peta kawasan.
c) Mengemukakan permohonan yang lengkap kepada Pegawai Perpaduan Daerah/Bahagian.
2. TINDAKAN PEGAWAI PERPADUAN DAERAH/BAHAGIAN
a) Menerima surat permohonan penetapan kawasan rukun tetangga dan membuka fail.
b) Menghantar surat akuan terima permohonan penetapan kawasan rukun tetangga kepada wakil
penduduk.
c) Mengaturkan Majlis Perjumpaan dengan penduduk dan mengadakan sesi taklimat mengenai penubuhan
Jawatankuasa Penaja Rukun Tetangga.
d) Memohon sokongan Pegawai Daerah untuk penetapan kawasan rukun tetangga (kecuali negeri-negeri
tertentu).
e) Menyediakan pelan lakar kawasan dan diskripsi sempadan kawasan rukun tetangga yang
dicadangkan.
f) Mengemukakan Borang Permohonan JPNIN(RT)1/98, Maklumat Asas Kawasan, Senarai Cadangan Nama
Jawatankuasa Penaja Rukun Tetangga, Peta Kawasan, Pelan Lakar Kawasan, Diskripsi Sempadan dan surat sokongan
Pegawai Daerah (kecuali negeri-negeri tertentu) kepada Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi
Nasional.
3. TINDAKAN PENGARAH PERPADUAN NEGERI
a) Menyemak Borang Permohonan, maklumat serta dokumen yang dikemukakan oleh Pegawai Perpaduan
Daerah/ Bahagian.
b) Menghantar surat akuan terima kepada Pegawai Perpaduan Daerah/Bahagian. Jika tidak lengkap
kembalikan kepada PPD/PPB untuk dilengkapkan.
c) Mengemukakan permohonan yang lengkap ke Ibu Pejabat.
4. TINDAKAN PEGAWAI DI IBU PEJABAT
a) Merekod penerimaan dan menyemak permohonan penetapan kawasan rukun tetangga.
b) Menghantar surat akuan terima kepada Pengarah Perpaduan Negeri. Kembalikan Jika tidak lengkap
kembalikan kepada PPN untuk dilengkapkan.
c) Membuat perakuan untuk kelulusan Ketua Pengarah Rukun Tetangga.
d) Menetapkan tarikh penguatkuasaan Notis Penetapan.
e) Mengemukakan Notis Penetapan kepada Pengarah Perpaduan Negeri/Pegawai Perpaduan
Daerah/Bahagian.
Nota : Dipetik dari Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional
|